Kementerian Wilayah Persekutuan akan memastikan lokasi tapak baharu bazar Ramadan di Jalan Masjid India adalah berhampiran dengan tapak lama.

Menterinya, Khalid Abdul Samad bagaimanapun berkata, lokasi sebenar akan ditentukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelasnya, isu kesesakan di Jalan Masjid India menyebabkan bazar Ramadan itu terpaksa dipindahkan.

Pada masa sama katanya, masalah kesesakan berkenaan menyebabkan ada pemilik premis sedia ada di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian.


"Kita nak supaya Wisma Yakin itu dan kedai sepanjang Jalan Masjid India yang merupakan peniaga asal termasuk peniaga Melayu kita. Apabila dibuka gerai, maka ia melindungi perniagaan mereka.

"Apabila semua bazar perayaan dibuat di situ, maka yang menanggung kos adalah peniaga Melayu. Sebenarnya, kita nak majukan Melayu," katanya kepada media selepas menghadiri Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak di sini pada Ahad.

BACA: Di mana tapak ganti bazar Ramadan Jalan Masjid India? Ini reaksi menteri

Jumlah tapak baharu Bazar Ramadan berkenaan juga akan melibatkan angka yang sama seperti tahun sebelum ini.

"Kita cuba dapatkan jumlah tapak yang sama. Yang penting kita tak nak orang jual lesen, itu satu hal. Kalau tempat ini sudah lama dikuasai orang tertentu, ini pun menimbulkan masalah," kata beliau lagi.