Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengenal pasti beberapa lokasi strategi untuk projek pembangunan Muzium Alam Semulajadi yang pertama di Malaysia, kata Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Ahli Parlimen Silam itu berkata ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pasukan petugas khas telah dibentuk khusus bagi membincangkan pelaksanaan cadangan itu di peringkat Persekutuan.

“Beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dikenal pasti untuk tujuan pembangunan muzium, dan ini termasuklah sebidang tanah di Presint 5, Putrajaya.

“Namun cadangan ini terpaksa ditangguhkan kerana terdapat kekangan kewangan,” katanya sewaktu menjawab soalan Ahmad Hassan (WARISAN - Papar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad ingin mengetahui sekiranya status terkini perancangan Muzium Alam Semulajadi itu, serta kemungkinan ia dapat dibina di Sabah.

Mengenai pemilihan Sabah sebagai lokasi itu, Mohamaddin berkata ia boleh dilakukan sekiranya kerajaan negeri bersetuju dengan beberapa syarat.

Antaranya ialah kerajaan negeri bersedia serahkan tanah kepada kerajaan Persekutuan, ia akan dikendalikan Persekutuan sepenuhnya, dan ia akan mendapat taraf Persekutuan.

Selain itu, Mohamaddin berkata kerajaan negeri juga perlu bersedia menanggung sebahagian kos pembinaan muzium itu.