Sebuah lombong ternakan itik pecah, menyebabkan kedua-dua arah Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran Tronoh, di sini, dibanjiri air.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku di Kilometer (KM) 22 Jalan Ipoh - Lumut melibatkan lombong ternakan itik di belakang Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara.

“Kejadian itu menyebabkan air melimpah ke atas jalan dan berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua laluan.

“Anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah dan Balai Polis Pusing diarah mengawal aliran lalu lintas di kawasan berkenaan dengan membuat sekatan,” katanya.

Setakat ini, menurut Ahmad Adnan, tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda dilaporkan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta telah pun dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan lanjut, termasuk pembersihan jalan, tambahnya.

Susulan itu, lencongan laluan dari Ipoh ke Lumut dibuat di lampu isyarat KM21 Jalan Ipoh - Lumut (hadapan kari kepala ikan Salim), manakala dari Lumut ke Ipoh pula, lencongan di lampu isyarat KM23 (hadapan Klinik Tronoh), tambahnya.

Menurutnya, laluan alternatif yang boleh digunakan dari Ipoh ke Lumut adalah melalui Jalan Parit dan dari Lumut ke Ipoh pula adalah Jalan Bali - Tanjung Tualang, Batu Gajah.