Lori milik pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUKTRA) yang dilaporkan hilang pagi Isnin, ditemui ditinggalkan berhampiran Plaza Tol Hospital Sungai Buloh jam 1.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa mengesahkan penemuan lori berkenaan.

Menurutnya, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Katanya, sebelum dilaporkan hilang, lori berkenaan diletakkan di belakang sebuah hotel di Jalan Raja Laut.


Kehilangan lori membawa peralatan muzik dan persembahan artis Kebudayaan Terengganu itu disedari di ibu negara, pada 7 pagi semalam.

Sementara itu, jurucakap SUKTRA menjelaskan, semua peralatan muzik di dalam lori berkenaan selamat.

Katanya, terdapat cubaan untuk membuka kunci lori berkenaan, namun tidak berjaya.