Tutup

Love Scam: Warga emas ditipu lebih RM200,000

Love Scam: Warga emas ditipu lebih RM200,000
Menurut polis, mula berkenalan dengan suspek menggunakan aplikasi Twoo (Meet New People) sejak Julai 2018 sehingga Julai 2019 sebelum mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
ALOR SETAR: Seorang warga emas berusia 65 tahun mengalami kerugian sebanyak RM210,020 selepas ditipu sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, mangsa bekas jururawat berasal dari Jitra dan berkahwin mula berkenalan dengan suspek menggunakan aplikasi Twoo (Meet New People) sejak Julai 2018 sehingga Julai 2019 sebelum mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

"Suspek telah memperkenalkan diri beliau sebagai Zang Lee Felix yang berasal dari England dan berdarah campuran China dan Korea.

"Suspek juga mendakwa sedang bertugas dengan sebuah syarikat perkapalan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek berjaya mendapatkan simpati mangsa dengan menipu kononnya dia merupakan seorang duda dan anaknya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di England.
"Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa, suspek mendakwa beliau menghadapi masalah kewangan dalam satu perniagaan pendawaian dan memerlukan sedikit bantuan kewangan.

"Pada permulaannya, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM1,700 ke dalam satu akaun yang diberikan suspek," katanya.

Annuar berkata, selepas satu tempoh, suspek memberitahu perniagaannya semakin menguntungkan dan maju.

Bagaimanapun, mangsa kemudian diberitahu kononnya barangan pendawaian suspek yang sepatutnya dieksport ke luar negara kini telah ditahan oleh kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehubungan itu katanya, suspek meminta bantuan mangsa untuk melepaskan barangan pendawaian dengan membayar sejumlah wang kepada pihak kastam.
Beliau berkata, atas dasar percaya, mangsa telah membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam 11 akaun bank yang diberikan suspek.

"Jumlah keseluruhan pindahan wang yang dibuat oleh mangsa berjumlah RM201,020. Kesemua wang ini adalah dari simpanannya sendiri.

"Penipuan ini mula disedari oleh keluarga mangsa apabila mangsa hendak membuat pinjaman peribadi dari bank.

"Pinjaman peribadi ini dipercayai dilakukan untuk memindahkan lebih banyak wang kepada suspek," katanya.

Mangsa kemudian telah membuat laporan polis di Alor Setar pada 1 Ogos 2019 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam masa sama, pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Love Scam.

"Jangan mudah percaya akan pujuk rayu daripada seseorang yang tidak pernah dikenali melalui media sosial.

"Selain itu, jangan terlalu mudah untuk membuat sebarang pindahan wang kepada individu yang hanya dikenali melalui media sosial, terutama kepada mereka yang tidak pernah berjumpa dengan anda," katanya.