Kerajaan beri jaminan bil air rakyat Selangor dan Kuala Lumpur akan terus pada kadar nominal, biarpun Loji Rawatan Air Langat 2 kini di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan sudahpun melakukan kiraan, dan penduduk tidak akan terbeban kerana tarif air akan kekal seperti sedia ada.

“Saya ingat itu tidak akan jadi, sebab kita telah buat kajian dan juga kiraan di mana harga yang kita nak pajak kepada Air Selangor. Sebab ini di bawah PAAB, yang merupakan agensi di bawah kerajaan, dan kita bagi dia minima the interest rate untuk bayar di bawah 45 tahun.

"Tak ada bank lain atau cara lain di mana mereka diberi peluang untuk bayar balik selama 45 tahun. Sebab itu, Air Selangor akan membayar pada kadar yang nominal,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Pengoperasian Stream B (LRA Langat 2), di sini hari ini.

Turut menghadiri majlis itu ialah Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Dr Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana pemindahan aset seperti ini memerlukan penelitian ke atas syarikat air yang terlibat, terutamanya dalam memastikan modul perniagaan mereka berkesan, dan tidak akan terjejas dengan liabiliti.

Bagaimanapun, jelas beliau lagi, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji semula kadar tarif air bagi memastikan syarikat air ini dapat beroperasi dengan lebih selesa, dan lebihan pendapatan mereka boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah air tidak berhasil (NRW).

Dalam kenyataan media, Stream B LRA Langat 2 itu berupaya menyalurkan air terawat sehingga 565 juta liter air sehari (MLD), kepada kira-kira 900,000 penduduk secara berperingkat.

Ia merupakan loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara, dan akan siap sepenuhnya menjelang 2023.

Sekiranya beroperasi pada kapasiti penuh, LRA Langat 2 mampu membekalkan 1,130 juta liter air sehari kepada penduduk di Lembah Klang, sekali gus meningkatkan rizab bekalan air di Selangor.