Bermula Disember ini, pengguna perkhidmatan Rapid Rail LRT laluan Ampang tidak lagi perlu menukar tren mereka di stesen Chan Sow Lin untuk menuju ke arah ibu kota.

Ini kerana menurut Ketua Pegawai Operasi Aliran Ampang, Abdul Hadi Amran, aliran tersebut akan kembali dilanjutkan terus sehingga stesen Sentul Timur seperti asalnya.

Katanya, ia hasil maklum balas orang ramai khususnya pengguna tegar aliran Ampang yang majoritinya tidak berpuas hati dan kurang selesa dengan pelaksanaan sistem yang dilaksana pada Julai lalu.

Menurut Abdul Hadi, pertukaran yang mengehadkan perjalanan tren aliran Ampang hingga ke stesen Chan Sow Lin pada mulanya bertujuan untuk menjadikan aliran Sri Petaling (Sentul Timur-Putra Heights) sebagai aliran utama sementara aliran Ampang ke stesen Chan Sow Lin sebagai aliran spur atau aliran pendek sahaja.

Tetapi menyedari keperluan pengguna di Ampang, pihaknya mengambil keputusan untuk mengembalikan laluan legasinya demi kepuasan penumpang terutamanya yang setia dan tegar menggunakan perkhidmatan itu sebagai medium pengangkutan utama seharian mereka.

"Pada asalnya dari Ampang mereka dapat tempat duduk, tetapi apabila sampai di Chan Sow Lin mereka kena berdiri dan berebut pula untuk naik tren ke arah Sentul Timur atau Putra Heights.

"Ini memberikan maklum balas yang kurang elok, jadi kami ada perancangan dalam proses naik taraf Ampang ke Chan Sow Lin ini yang akan siap dijangka Disember," katanya.

Penaiktarafan itu melibatkan pertukaran sistem semboyan atau signalling system lama iaitu sistem fixed block kepada sistem CBTC (Communication-Based Train Control) yang terkini, yang telahpun diimplimentasi dalam laluan Sri Petaling sejak Jun lalu.

Sistem CBTC itu dikatakan lebih efisyen daripada sistem fixed block yang masih digunapakai untuk operasi laluan Ampang.

"Sistem fixed block hanya boleh ada satu tren sahaja dalam sesuatu masa.

"Tetapi dalam sistem CBTC, tren mempunyai punya blok sendiri dan tren boleh mengikut jarak yang kita tentukan iaitu jarak maksimum antara tren adalah 50 meter atau boleh lebih hampir lagi.

"Jadi ia membolehkan kita menambah jumlah tren di atas landasan, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan dengan lebih cepat," jelasnya.

Dengan sistem baru itu, dijangka kekerapan tren adalah berselang enam minit ketika waktu puncak dari stesen Ampang-Chan Sow Lin dan Sentul Timur-Chan Sow Lin, dan selang tiga minit setiap tren menuju ke stesen Putra Heights.

Seiring pertukaran sistem baru itu, lapan set tren lama berwarna kuning biru yang masih digunakan dalam aliran Ampang itu juga akan ditukar seluruhnya dengan set tren baru yang ditempah daripada syarikat CRRC dari China.

Setakat ini, Rapid Rail telah menerima 45 set tren daripada CRRC, 39 daripadanya telah beroperasi sementara dua lagi masih dalam peringkat percubaan dan dijangka baki lima lagi set tren akan tiba menjelang Januari 2017.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan tren yang dimiliki Rapid Rail sebanyak 50 set.

Sementara itu maklum Abdul Hadi, kerja-kerja penaik tarafan melibatkan depoh dan penggantian peralatan seperti sambungan suis dan wayar untuk sistem baru CBTC sedang giat dijalankan ketika ini.

Oleh sebab itu, ada masanya pengguna akan mengalami sedikit gangguan perkhidmatan.

"Sejak tiga hari lepas kita telah menjalankan simulasi tren pada awal pagi sebelum waktu perkhidmatan dibuka, dan kita akan teruskan ini sampai berpuas hati ia dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik.

"Ada kalanya ia memerlukan lebih masa, dan pada 11 Disember ini kita akan menjalankan kerja-kerja pertukaran suis yang akan memakan masa hingga pukul 9 pagi. Jadi perkhidmatan akan dibuka sedikit lewat kepada orang ramai pada hari Ahad itu," maklumnya.