Pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terdahulu dilihat tidak mengamalkan amalan terbaik polisi dan garis panduan hingga ditegur Jabatan Audit Negara (JAN).

Ketua Eksekutif LTAT Nik Amlizan Mohamed berkata pihaknya memandang serius dua urus niaga yang dijalankan dengan tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan.

“Kalau kita tengok di Sijil Pendapat Berteguran, terdapat kekhilafan iaitu tidak mematuhi garis panduan piawaian laporan tahunan kewangan.

“Apabila saya masuk (ambil alih LTAT), saya mendapati, garis panduan untuk menentukan bahawa proses itu boleh mengenalpasti pendapatan atau tidak, tiada.

“Jadi buat masa ini, kami sedang menjalani satu penstrukturan kembali dan juga untuk mengenalkan garis panduan yang lebih tepat supaya kekhilafan pada masa akan datang atau ketidakpatuhan piawaian tersebut tidak berlaku kembali,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Timbalannya Liew Chin Tong dan Pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

Mohamad dalam reaksinya berkata, wujud kekeliruan mengenai kerugian terkumpul dan bukan keuntungan terkumpul.

“Laporan Kewangan yang dikemukakan pada 2018 untuk tahun 2017 ada berlaku kekeliruan. Sebenarnya, berlaku kerugian terkumpul dan bukan keuntungan terkumpul. Dan ia telah ditegur JAN,” katanya.

Merujuk laporan kewangan LTAT bagi tahun berakhir 31 Disember 2017, Nik Amlizan berkata, hasil penjualan pembangunan harta tanah berjumlah RM202.71 juta tidak boleh diiktiraf dalam Penyata Kewangan LTAT 2017.

Transaksi tersebut tidak boleh diiktiraf selaras dengan Financial Reporting Standard 118 berkaitan pendapatan kerana kriteria-kriteria pengiktirafan pendapatan tidak dipenuhi.

Malah, katanya, teguran tersebut turut menyebut berkenaan Sekuriti Sedia Untuk Dijual berjumlah RM1,602.52 juta.

Kemerosotan bagi dua Sekuriti Sedia Untuk Dijual yang berjumlah sehingga RM88.9 juta tidak dilaporkan dalam Penyata Kewangan LTAT 2017.

“Nilai sebenar bagi dua saham tersebut pada akhir tahun kewangan 2017 adalah RM18.46 juta berbanding dengan kos pembelian sebanyak RM107.36 juta.

“Penurunan nilai pasaran daripada kos yang signifikan atau berlanjutan adalah pertimbangan bahawa aset kewangan telah terjejas,” katanya.

Justeru, jelas beliau, impak daripada hasil penemuan seperti mana yang dinyatakan dalam Pendapatan Berteguran oleh JAN telah menyebabkan keuntungan LTAT bagi tahun kewangan 2017 menurun daripada RM662.17 juta ke RM370.56 juta.

“Keuntungan terkumpul LTAT juga akan menurun secara mendadak, mengakibatkan keuntungan terkumpul negatif sebanyak RM31.6 juta berbanding keuntungan terkumpul positif RM259.99 juta sebelum ini,” ujarnya.

Beliau juga berpendapat, dengan akaun beraudit muktamad bagi tahun kewangan 2017, khasnya kerana status negatif untuk keuntungan terkumpul, ini akan memberi kesan yang besar kepada akaun tahun kewangan 2018.