Tutup

'LTTE adalah kumpulan pengganas'

'LTTE adalah kumpulan pengganas'
Pelbagai tohmahan dilempar kepada pihak Polis akan tetapi penulis meyakini bahawa tangkapan yang dilakukan ini adalah tepat dan benar. - Gambar fail/PDRM
BARU-baru ini Malaysia telah dikejutkan dengan siri pengangkapan sejumlah individu yang dikaitkan dengan sebuah kumpulan pengganas LTTE. Malah beberapa anggota parti politik kerajaan hari ini, Pakatan Harapan dari parti DAP juga telah ditahan di bawah undang-undang SOSMA. Mereka ini termasuklah dua wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti Politik DAP iaitu G. Saminathan dari Gadek, Melaka dan P. Gunasekaran dari Seremban Jaya.

Banyak pihak mengecam pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang dikatakan melakukan tangkapan bermotif politik dan tidak dilakukan secara profesional. Saya telah berada dalam bidang ini selama hampir 20 tahun, mengenali pihak Polis terutamanya unit E8 dalam pembanterasan elemen pengganas dalam negara ini amatlah tegas dan mencabar. Pelbagai tohmahan dilempar kepada pihak Polis akan tetapi saya meyakini bahawa tangkapan yang dilakukan ini adalah tepat dan benar serta terhasil dari intipan yang menyeluruh dan penuh keberanian untuk memastikan keamanan negara Malaysia yang tercinta.
Ramai mungkin masih belum cukup jelas berkaitan LTTE. Malah ramai juga yang bersimpati dengan perjuangan mereka dan ada juga yang melahirkan sokongan terhadap mereka-mereka yang ditahan berkaitan penglibatan dengan LTTE ini. Sebelum bercakap atau bertindak untuk memberikan sokongan terhadap LTTE, amatlah perlu untuk kita memahami perjuangan dan ideologi mereka.

LTTE juga dikenali sebagai Liberation Tamil Tiger Eelam atau gerakan Pembebasan Tamil Tiger Eelam yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1976 oleh Villipillai Prabhakaran. LTTE adalah manifestasi perjuangan kelompok Tamil di selatan India dan Utara serta timur Sri Lanka. Dahulunya kawasan tersebut mempunyai sebuah kerajaan lama yang dikenali sebagai Eelam yang akhirnya telah ditumbangkan hasil penjajahan Portugis pada 1619, diikuti dengan penaklukan Belanda pada 1656 dan akhirnya oleh British pada 1795 hinggalah mendapat kemerdekaan pada tahun 1948.  Dalam perjanjian kemerdekaan yang diperolehi ini, sebuah negara yang dulunya dikenali sebagai Ceylon dan akhirnya dikenali sebagai Sri Lanka telah diwujudkan dengan majoritinya adalah masyakat Singhalese beragama Buddha menjadi pentadbir negara ini. Sejak dari itu, masyarakat Tamil yang menghuni kawasan utara dan timur Sri Lanka serta beragama Hindu memperjuangkan kerajaan sendiri  melalui cara gerila dan aktiviti terroris.
Perjuangan selama puluhan tahun itu mencapai kemuncaknya dengan kewujudan sebuah gerakan ketenteraan yang dkenali sebagai LTTE. Gerakan ini amat terancang dan mendapat sokongan dari pelbagai kumpulan termasuklah perisik India dan beberapa negara luar sehinggalah kematian Prabhakaran pada tahun 2009 semasa berperang dengan kerajaan Sri Lanka. Kematian pengasas LTTE ini bukanlah penamat bagi perjuangan mereka, sebaliknya kumpulan ini melakukan transformasi dengan menubuhkan gerakan bersifat rentas negara dan secara remot bagi mereka-mereka yang berada di luar Sri Lanka. Kumpulan ini dikenali sebagai Transnational Government of Tamil Eelam (TGTE) yang dianggotai oleh diaspora Tamil di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

LTTE telah dikategorikan sebagai sebuah pertubuhan pengganas pada 1990an oleh tidak kurang 32 negara termasuklah agensi perisikan antarabangsa seperti CIA, FBI, dan Interpol. Keadaan ini berlaku kerana ideologi ekstrem dan ganas LTTE terus berkembang tanpa sempadan negara, waktu dan politik. LTTE amat bijak menyusup ke nagara-negara tertentu dan menjalankan dakyah ganas dan ekstrem mereka tanpa disedari ramai.

Pada tahun 2008, FBI telah menyatakan bahawa “LTTE adalah kumpulan pengganas yang merbahaya, lebih bahaya dari Al-Qaeda dan ISIS’ semasa membentangkan tentang negara dan pertubuhan-pertubuhan pengganas yang beroperasi diseluruh dunia. Menurut FBI, LTTE adalah kumpulan pengganas yang paling bersistematik, mempunyai kumpulan askar sendiri, perisik terlatih dan skuad pengebom berani mati.

Dalam sejarah pergerakan pengganas LTTE ini, mereka adalah satu-satunya kumpulan pengganas yang membunuh pemimpin utama negara, iaitu melakukan serangan bom berani mati yang telah membunuh Rajiv Gandhi Perdana Menteri India pada tahun 1991 di negeri Tamil Nadu dan juga Ranasinghe Premadasa Perdana Menteri Sri Lanka pada tahun 1993.

Selain tiu, LTTE juga adalah merupakan kumpulan pengganas pertama yang melakukan modus operandi serangan secara meletupkan diri sendiri. Skuad pengebom berani mati yang dikenali sebagai Black Tiger ditubuhkan oleh LTTE yang berjaya mengorbankan tidak kurang 4,000 nyawa melalui kaedah tersebut.  Black Tiger telah menggunakan kanak-kanak dan wanita sebagai skuad berani mati dengan cara menculik dan mengindokktrinasi mereka terutamanya dengan kepercayaan atas kelahiran semula atau reinkarnasi (karma).

LTTE juga telah menyerang askar kerajaan dan membunuh ribuan askar dalam pelbagai operasi yang dilakukan termasuklah menyerang pengkalan tentera laut Sri Lanka di Jaffna. LTTE juga telah membunuh ribuan orang awam melalui siri-siri serangan terhadap pengangkutan awam seperti bas dan keretapi termasuklah sebahagian besar daripada kapal terbang milik negara Sri Lanka di Lapangan Terbang Bandranaike pada tahun 2001.

Selain itu, LTTE juga telah membunuh ribuan masyarakat Muslim Sri Lanka dalam siri-siri serangan berdarah termasuklah di masjid, Kottakundy yang telah menyebabkan kematian 147 jemaah pada tahun 1990. LTTE juga telah melakukan penghapusan etnik Singhalese dalam serangan pembunuhan massa yang mengakibatkan ribuan orang awam terbunuh dalam siri-siri pengeboman di Colombo dan di wilayah Jaffna. Perjuangan secara ganas oleh LTTE telah mengorbankan sekurang-kurangnya 80,000 nyawa selama 26 tahun.

LTTE mendapat dana yang cukup besar dari aktiviti penjualan senjata api, perkapalan dan sumbangan dana peribadi melalui LTTE diaspora di seluruh dunia. Dipercayai LTTE juga melakukan aktiviti penjualan dan pemindahan dadah dalam jumlah yang besar ke negara-negara Eropah dan Asia.  LTTE juga mempunyai jaringan di seluruh dunia termasuklah di Amerika, Kanada, Finland, Sweden dan Malaysia.

Di Malaysia ancaman LTTE bermula mulai tahun 1970an dengan penubuhan Malaysian Ceylon Congress (MCC) untuk melengkapkan ideologi yang diperjuangan mereka. Kumpulan ini berkembang dan terus menyatakan sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE. Akan tetapi mereka semakin berani dengan kejayaan beberapa pimpinan utama mereka yang berselindung di sebalik parti politik. Sokongan ini dizahirkan dengan acara, majlis, perarakan dan lain-lain yang semakin berani dilakukan secara terbuka.  Antara majlis yang dilakukan adalah memperingati pahlawan yang terkorban dalam perjuangan LTTE dikenali sebagai Maaveeran Thiran iaitu penyembahan senjata AK-47.

Malah ideologi ganas LTTE ini sedang berkembang pesat dalam negara kita kerana dilindungi oleh sekelompok mereka yang berpengaruh dalam politik. Mereka menggunakan parti yang sah untuk menjalankan dakyah secara halus dan akhirnya nanti akan merosakkan parti itu Jika mereka menyatakan sokongan terhadap LTTE atau MCC sejak dari awal, maka pastinya gerakan mereka akan disekat, oleh itu mereka guna parti yang sah seperti DAP dan pertubuhan-pertubuhan berdaftar yang lain untuk meneruskan agenda LTTE ini.

Maka pihak kerajaan dan PDRM telah membuat tindakan yang tepat dan benar dengan melakukan tangkapan terhadap elemen LTTE sebagai ancaman yang dibawa oleh ISIS dan Al-Qaeda sebelum ini. Ancaman LTTE dan lain2 kumpulan pengganas tidak boleh dipandang sepi, ancaman terroris merentasi agama, sempadan dan etnik.



* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Profesor Madya UniMAP dan Pakar Kajian Strategik & Anti Keganasan

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.






Tag: Sri Lanka, LTTE, pengganas, polis, ADUN, DAP, Pakatan Harapan, Tamil Eelam



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.