Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaren daripada dua pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah pembebasan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suffian Jaafar memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada pendakwa raya supaya tidak meneruskan prosiding terhadap Gunasekaren, 61.

Satu kes Gunasekaren didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil dan satu lagi di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Gunasekaren memberitahu mahkamah bahawa berikutan pendakwaan tidak meneruskan kes terhadap anak guamnya, beliau memohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Gunasekaren didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama ‘DAP Guna Palanisamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini, pada 2 petang, 7 Okt 2019./p

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka di antara 8.30 malam dengan 10.50 malam, pada 28 Nov 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA