Lima lagi suspek ditahan dipercayai terlibat dengan perjuangan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka didakwa mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak itu.

Seorang suspek ditangkap di Selangor, dua di Melaka, dan dua lagi di Pulau Pinang menjadikan jumlah keseluruhan 12 suspek ditahan setakat ini.

Penahanan terbaharu ini adalah operasi susulan daripada tangkapan tujuh suspek pada 7 Otober lalu.

“Suspek pertama ditangkap di Telok Panglima Garang, merupakan lelaki berusia 52 tahun dan bekerja sebagai guru di sekolah menengah sekitar menengah di Banting, Selangor.

"Suspek terlibat menyokong, mempromosi LTTE melalui sosial media dan memiliki bahan LTTE,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, pada Ahad.


Suspek kedua ialah seorang lelaki 38 tahun yang bekerja sebagai Pegawai Eksekutif di Perbadanan Teknologi Hijau Melaka.

“Suspek pada 28 November tahun lepas merupakan penganjur program sambutan Hari Perwira LTTE di Melaka dan telah mengedarkan risalah-risalah dan item berkaitan pengganas LTTE."

Suspek ketiga berumur 43 tahun ditahan di Durian Tunggal, Melaka dan bekerja sebagai Ahli Majlis Perbandaran Melaka.

“Suspek juga pada 28 November tahun lepas bertindak sebagai penganjur program sambutan Hari Perwira LTTE di Melaka dan telah mengedarkan risalah-risalah dan item berkaitan pengganas LTTE,” tambahnya.

Suspek keempat ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan pekerja kilang berusia 26 tahun dan disyaki menyokong serta mempromosi LTTE melalui media sosial.

Manakala, suspek kelima berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penyelia keselamatan ditangkap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana disyaki mempromosi LTTE melalui media sosial serta memiliki bahan dan menyimpan bahan kumpulan pengganas.

Kesemua tangkapan dibuat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 6a di bawah kesalahan berkaitan keganasan dan Kanun Keseksaan.

Akta disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan.

Hasil penggeledahan dilakukan terhadap 12 suspek, pihak polis merampas bendera, buku, poster, gambar pemimpin LTTE serta bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Polis juga berjaya mengesan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar disyaki digunakan untuk membiayai aktiviti mempromosi, merekrut dan menggerakkan program-program berkaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Bagaimanapun jumlah sebenar tidak didedahkan kerana ia adalah siasatan awal.

“Baik RM100 atau RM50 sekali pun, jumlah banyak mana tidak menjadi isu. Namun kesalahan itu yang menjadi isu,” katanya lagi.

Justeru, katanya, polis akan terus melancarkan operasi susulan bagi mengesan dan membanteras saki-baki pengganas LTTE di Malaysia.