Golongan yang menghulurkan bantuan kepada mangsa perang saudara yang berlaku di Sri Lanka tidak patut disalah anggap menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy yang juga memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata apabila perang saudara tercetus di Sri Lanka, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menghantar bantuan kewangan bagi membina semula negara tersebut.

“Saya berharap golongan yang membantu mangsa perang saudara tidak disalah anggap sebagai penyokong LTTE, sebaliknya bersimpati terhadap mereka yang terkorban dalam perang saudara tersebut.

“Di saat-saat akhir peperangan saudara tersebut, lebih kurang 100,000 orang mati. Ramai daripada keluarga mereka yang terjejas.

“Ramai rakyat Malaysia yang menghantar bantuan kewangan bagi membina semula negara tersebut,” katanya pada Majlis Penghargaan “Jasamu Dikenang” Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) di Dewan Kementerian Sumber Manusia Putrajaya pada Khamis.


Katanya lagi, penyiasatan isu ini harus diserahkan kepada pihak polis dan kebenaran akan ditegakkan.

BACA: Penahanan LTTE: Polis ambil tindakan berdasarkan bukti kukuh - Muhyiddin


BACA: Penahanan LTTE: Ramasamy nafi mahu larikan diri

Sehingga kini, seramai 12 individu termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.