Tutup

Lupus bot nelayan asing, perbincangan MOA, KDN peringkat akhir

Lupus bot nelayan asing, perbincangan MOA, KDN peringkat akhir
SALAHUDDIN: Sama ada bom, bakar atau tenggelam itu kami sedang bincang.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) kini dalam proses perbincangan akhir bersama Kementerian Dalam Negeri tentang kaedah melupuskan bot-bot nelayan asing yang dirampas kerana menangkap ikan di perairan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata pihaknya juga sedang meneliti kaedah yang tepat bagi memusnahkan bot-bot nelayan asing itu.
"Sama ada bom, bakar atau tenggelam itu kami sedang bincang. Mungkin dalam masa dua minggu akan ada satu acara untuk menunjukkan kepada pihak antarabangsa bahawa kita serius menangani isu pencerobohan nelayan asing.

"Saya juga telah mendapat taklimat daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bahawa telah ada beberapa bot nelayan Vietnam yang telah dilucutkan hak oleh mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ke-34/2019 di sini, pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Terdahulu, Salahuddin dalam ucapannya berkata beliau telah bertemu Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti baru-baru ini dan mengagumi ketegasan Indonesia dalam menangani isu pencerobohan kapal nelayan asing di Indonesia.

"Tidak ada kapal nelayan asing (di Indonesia), mereka dihalau balik semua. Bot-bot besar diharamkan, tiada soft landing, tarik semua lesen.

"Bot asing masuk, bom. Indonesia buat tiga tahun. Tahun pertama maki hamun, sumpah namun masuk tiga tahun ikan tuna datang berenang ke pantai," katanya.

Salahuddin berkata apabila pihaknya bertegas, hasil laut juga akan meningkat dan ia akan mendatangkan pendapatan lumayan khususnya pada nelayan negara.

Semalam, media melaporkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia sedang meneliti untuk mencontohi dasar kerajaan Indonesia dengan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara.

Beliau berkata terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan namun perlu mendapat nasihat daripada Peguam Negara.

Awal bulan ini Salahuddin berkata tindakan menenggelamkan bot nelayan asing yang mencerobohi perairan Malaysia hanya akan dipertimbangkan jika langkah menangani pencerobohan nelayan asing pada masa ini termasuk penubuhan pasukan petugas khas oleh Kabinet tidak berkesan.

-- BERNAMA





Tag: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, bot nelayan asing, perairan negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.