Usaha membentangkan semula cadangan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah bergantung kepada usul mengenai isu yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, beliau sangat positif mengenai isu itu, yang menyentuh mengenai usaha mengembalikan status dan hak-hak Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kami mahu melihat apa yang berlaku esok kerana ini adalah suara rakyat yang disalurkan melalui wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak ... Jadi kita tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Usul itu akan dibahaskan Selasa selepas ia dibentangkan oleh Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di DUN yang bersidang pada Isnin.

Mengenai pertemuan dengan Ketua Menteri yang membuahkan hasil, beliau berkata Abang Johari benar-benar mahu memastikan bahawa bukan sahaja hak rakyat Sarawak tetapi juga hak rakan-rakan dari Sabah dipelihara dengan baik mengikut MA63.

Liew berkata fakta sejarah berhubung MA63 tetap sama, dengan Sarawak mempunyai perjanjian 18 perkara dan Sabah perjanjian 20 perkara yang tidak dapat diubah walaupun ia mungkin tertakluk kepada tafsiran mengenai peruntukan tertentu.

Usaha kerajaan persekutuan untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada 9 April tidak berjaya kerana tidak mendapat majoriti dua pertiga disebabkan ahli Parlimen pembangkang dari Sarawak tidak mengundi, dengan alasan ia perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, DUN Sarawak atau kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai perkara lain, Liew berkata badan kehakiman telah menangguhkan keputusan untuk memindahkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu buat masa ini.

Beliau berkata keputusan itu juga mengambil kira bahawa Ketua Menteri membantah pemindahan itu kerana tidak dibawa berunding seperti kehendaki di bawah Perkara 121 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan untuk memindahkan pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi baru-baru ini dibuat oleh bekas ketua hakim negara di bawah kerajaan terdahulu dan beliau tidak menyedari perkara itu sehingga mencetuskan kekecohan, khususnya di kalangan ahli politik Sarawak, kata Liew. -- Bernama