Akibat takut namanya disalah guna kerana dikatakan telah mengambil pil tidur di Hospital Kuala Lumpur, seorang lelaki di sini kerugian RM196,000 ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 14 Disember tahun lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa namanya disalah guna untuk mengambil ubat tidur berkenaan.

"Mangsa menafikan perkara itu, sebelum talian itu disambungkan kepada 'Inspektor Gan'. Mangsa dimaklumkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya disalahgunakan untuk tujuan dadah.

"Mangsa kemudian diminta menyerahkan gambar kad ATM miliknya untuk tujuan semakan lanjut. Mangsa juga diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek untuk tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, bermula 7 Disember hingga 13 Januari lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam 12 akaun berbeza melalui 21 transaksi, dengan jumlah keseluruhan RM196,000.

"Mangsa masih lagi diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM50,000, namun dia memaklumkan sudah kehabisan wang.

"Mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam," katanya.

Menurutnya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik 12 akaun bank berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.