Pengacara terkenal, Datuk Mahadzir Lokman dilaporkan berada dalam kritikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut adiknya Danial, ketika dihubungi Astro AWANI petang tadi, Mahadzir atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Dale, mula tidak sedarkan diri di kediamannya pagi Ahad.

Danial turut berkata, Mahadzir baharu pulang dari Jakarta, Indonesia dua hari lepas.

Beliau dilaporkan terkena sejenis jangkitan yang telah menyebabkan penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya lebih kritikal.

“Abang saya tidak sedar diri sejak Subuh tadi (Ahad). Kami cuba mengejutkan beliau untuk memberi suntikan insulin sekitar jam 10 pagi tapi kami dapati beliau pernafasannya terganggu,” kata Danial.

“Kami menelefon ambulans dan terus membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut Danial,abangnya juga dilaporkan kini mengalami radang paru-paru dan buah pinggang beliau terjejas akibat terkena jangkitan.

Danial turut menambah agar rakan-rakan yang mengenali Mahadzir untuk mendoakan kesejahteraan abangnya.