Mahadzir Lokman stabil, henti sebar khabar angin - Dr Noor Hisham

Mahadzir Lokman stabil, henti sebar khabar angin - Dr Noor Hisham
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta semua pihak agar menghentikan segala khabar angin mengenai keadaan pengacara terkenal, Datuk Mahadzir Lokman. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta semua pihak agar menghentikan segala khabar angin mengenai keadaan pengacara terkenal Datuk Mahadzir Lokman.

Menerusi laman Facebook, Dr Noor Hisham berkata Mahadzir berada dalam keadaan stabil.

“Seperti yang dilaporkan oleh media, beliau kini dimasukkan ke unit ICU di PPUM.
“Keadaannya stabil dan beliau dapat menjawab panggilan saya dengan membuka matanya ketika saya melawatnya petang ini,” tulis Noor Hisham.

Tambah Ketua Pengarah Kesihatan itu, pemeriksaan dan rawatan yang perlu sedang dilberikan oleh pasukan pakar di UMMC.

“Daripada menyebarkan berita palsu, marilah kita berdoa untuk pemulihannya yang cepat,” beliau mengakhiri kenyataannya.

Sekitar jam 1.30 petang Isnin, mesej tentang kematian Mahadzir mula tular di media sosial.

Mahadzir dikejarkan ke PPUM sekitar jam 10 pagi Ahad selepas dijumpai tidak sedarkan diri di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Adik Mahadzir, Danial ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad memaklumkan Mahadzir terkena jangkitan bakteria selepas pulang dari Jakarta, Indonesia atas urusan kerja tiga hari lalu.