Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini pada Isnin untuk memulakan atur cara yang padat dalam lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun, iaitu lawatan kali ketiga ke negara ini selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada Mei lepas.

Antara kemuncak lawatan beliau adalah istiadat pengurniaan darjah kebesaran 'The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers'oleh Maharaja Jepun pada Selasa di Imperial Palace di sini.

Pesawat yang membawa pemimpin terulung Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda kira-kira 4 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Dr Mahathir diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan beliau dan delegasi ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Luar Negara Jepun Toshiko Abe, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa dan Duta Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Penganugerahan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun oleh Maharaja Akihito itu berikutan sumbangan besar perdana menteri dalam memperkukuhkan hubungan dua hala.

Dalam lawatan itu juga, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri, yang berlangsung selepas istiadat penganugerahan itu.

Pada hari kedua lawatan, Dr Mahathir dijadual menghadiri Persidangan Bersama ke-36 Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca)-Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Forum Perniagaan Malaysia di sini.

Beliau akan menyampaikan ucaptama berkaitan keadaan semasa di Malaysia dan jangkaan pelaburan dari Jepun kepada kira-kira 600 tokoh korporat serta peneraju industri.

Sebelum itu, beberapa jam selepas ketibaannya, perdana menteri akan dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah oleh Tsukuba University di kampus Tokyo universiti itu, merupakan pengiktirafan tertinggi oleh institusi pengajian tinggi berkenaan terhadap sumbangan beliau dalam mempertingkatkan pertukaran dalam bidang penyelidikan dan pendidikan di peringkat antarabangsa.

Pada hari ketiga pula, Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama di Toyo University di sini dan berinteraksi dengan belia Jepun, terutamanya pelajar universiti itu.

Beliau akan berlepas pulang ke tanah air pada tengah hari Rabu.

-- BERNAMA