Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menyasarkan untuk mencatat 60 juta penumpang setahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) pada 2020, berbanding 41 juta sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin semasa sesi taklimat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia akan direalisasikan apabila landasan baru siap pada tahun hadapan.

Raja Azmi berkata, Malaysia melalui MAHB adalah satu-satunya negara ASEAN yang memiliki lapangan terbang di Eropah.

ISG mengendalikan 53 syarikat penerbangan ke 131 destinasi antarabangsa dan 41 domestik.

Selepas taklimat, Dr Mahathir dibawa melawat kawasan sekitar dalam lapangan terbang itu.

MAHB adalah sebahagian konsortium yang berjaya memperoleh kontrak 1.9 bilion euro untuk mengendalikan lapangan terbang itu pada 2007.

Pada 2013, ia meningkatkan pegangan kepada 60 peratus dengan membeli 40 peratus ekuiti yang dipegang syarikat dari India, GMR Infrastructure Ltd bernilai 225 juta euro, dan sejak 2015 memiliki sepenuhnya lapangan terbang itu.

Dr Mahathir kini di Istanbul selepas dua hari di Ankara dalam lawatan rasmi empat harinya ke Turki.

Lawatan rasmi Dr Mahathir dijangka merapat dan meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Turki sejak kedua-dua negara mula menjalin hubungan diplomatik pada 1964.

Ia sekali gus menjadi usaha memperkukuh perdagangan sedia ada, selain mempromosi kerjasama baharu dalam pelbagai bidang