Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar permohonan pihak polis yang diwakili pegawai penyiasatnya.

Hasil semakan di mahkamah mendapati bahawa permohonan itu dibuat untuk mendapatkan mayat Nazrin bagi menjalankan bedah siasat kali kedua dan difahamkan proses menggali semula kubur itu akan dibuat pada Rabu ini.

Terdahulu, beberapa anggota keluarga Nazrin tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada 9.40 pagi sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Ketika ditanya media mengenai permohonan berkenaan, pegawai penyiasat kes itu enggan memberikan sebarang maklumat.

Pada 4 Sept lalu, isteri kepada Nazrin dan bekas suaminya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes, seterusnya pada 9 Sept lalu, turut ditahan reman dua anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Pada 24 Sept lalu, sepasang suami isteri yang merupakan adik ipar kepada Nazrin pula direman selama empat hari. Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Fadzil Ahmat sebelum ini berkata kes kematian Nazrin diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan hasil bedah siasat.

-- BERNAMA