Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Samirah Muzaffar, balu Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, dibebaskan dengan jaminan RM500,000 berserta dua penjamin sementara menunggu perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed, yang mempengerusikan panel lima anggota hakim, turut mengenakan beberapa syarat ke atas Samirah, termasuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis setiap dua minggu.

Beliau turut berkata Samirah, 44, bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mesti berada di dalam rumah dari 6 petang hingga 8 pagi dan dia juga dihalang daripada berada di tempat awam serta menghadiri majlis umum, kecuali perkara berkaitan keluarga dan keagamaan.

"Pemohon (Samirah) juga dilarang daripada meninggalkan Kuala Lumpur atau Petaling Jaya tanpa kebenaran mahkamah," kata Hakim Azahar.

Samirah, dua remaja masing-masing berumur 14 dan 17 tahun; serta seorang warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun, 2018 dan 4 pagi 14 Jun, 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pada 27 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan jaminan masing-masing RM50,000 berserta dua penjamin kepada dua remaja lelaki itu.

Ketika membenarkan permohonan Samirah supaya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan, Hakim Azahar berkata Mahkamah Tinggi gagal memberi pertimbangan berhubung peruntukan dalam seksyen 388 (1) Kanun Tata Cara Jenayah yang membenarkan seorang wanita yang berdepan pertuduhan bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin supaya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Beliau berkata terdapat keadaan yang memihak kepada Samirah yang tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi, antaranya dia mempunyai dua anak kecil di bawah umur lima tahun yang memerlukan penjagaannya.

Hakim Azahar berkata Samirah turut memberi kerjasama penuh semasa siasatan polis, ini juga tidak diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata kemungkinan Samirah mengganggu saksi dalam perbicaraan kes itu adalah dakwaan yang kabur.

Hakim Azahar berkata Hakim Mahkamah Tinggi juga gagal untuk melaksanakan budi bicaranya dengan bijak apabila beliau menolak permohonan jaminan Samirah.

Hakim lain yang turut bersidang dalam panel berkenaan ialah Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Samirah memfailkan permohonan bagi jaminan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak permohonan jaminannya.

Perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya ditetapkan pada 3 Sept.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah, memberitahu pemberita anak guamnya akan menjelaskan jaminan esok oleh sebab keluarganya perlu mengumpul wang untuk jaminan itu.

Beliau berkata Perintah Untuk Mengemukakan Tahanan telah dikeluarkan untuk Samirah hadir di mahkamah pada 9 pagi esok.

Muhammad Shafee berkata kes Samirah adalah keputusan bersejarah berhubung jaminan daripada mahkamah tertinggi dalam bidang kuasa komanwel.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dan Jasmee Hameeza Jaafar mewakili pendakwaan.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, peguam Muhammad Shafee, yang mewakili Samirah, memberitahu pemberita anak guamnya akan menjelaskan jaminan esok oleh sebab keluarganya perlu mengumpul wang untuk jaminan itu.

Beliau berkata Perintah Untuk Mengemukakan Tahanan telah dikeluarkan untuk Samirah hadir di mahkamah pada 9 pagi esok.

Muhammad Shafee berkata kes Samirah adalah keputusan bersejarah berhubung jaminan daripada mahkamah tertinggi dalam bidang kuasa komanwel.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dan Jasmee Hameeza Jaafar mewakili pendakwaan.

-- BERNAMA