Tutup

Mahkamah gugurkan dua kenyataan Tengku Sharifuddin dalam saman Mukhriz

Mahkamah gugurkan dua kenyataan Tengku Sharifuddin dalam saman Mukhriz
Mahkamah Tinggi membenarkan Tengku Sharifuddin untuk menggugurkan dua daripada empat kenyataan akhbarnya dalam saman Mukhriz. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad untuk menggugurkan dua daripada empat kenyataan akhbar beliau yang terkandung dalam saman bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar memutuskan bahawa perkataan yang didakwa berunsur fitnah dalam dua kenyataan akhbar bertarikh 15 dan 20 April itu tidak merujuk kepada Mukhriz.
"Oleh itu, tindakan ini adalah tidak kukuh," katanya.

Bagaimanapun, hakim itu menegaskan bahawa kenyataan akhbar ketiga dan keempat yang dikeluarkan pada 23 dan 26 April hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh sama ada ia berbaur fitnah atau tidak.
Mukhriz, 51, memfailkan saman itu pada 3 Mei tahun lepas, dengan mendakwa bahawa Tengku Sharifuddin telah mengeluarkan empat kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau masing-masing pada 15, 20, 23 dan 26 April.

Kenyataan itu dikeluarkan di bawah tajuk 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Donation Confirmation by Saudi Arabian Foreign Minister'; 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Former DPM's Reuters Interview'; 'Mukhriz Mahathir Statement: Response by Prime Minister's Press Secretary'; dan 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Tun Mahathir Mohamad and Mukhriz Mahathir'.

Mahkamah menetapkan 14 Mac bagi pengurusan kes berikutnya.

Tengku Sharifuddin diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Mukhriz, oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Jahaberdeen memberitahu pemberita beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Tengku Sharifuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Mukhriz dan menggugurkan semua kenyataan akhbar beliau yang terkandung dalam saman itu, pada 11 Okt tahun lepas.

Mukhriz, dalam writ saman beliau, mendakwa bahawa kenyataan itu membayangkan bahawa Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan beliau terlibat secara langsung dalam plot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Tengku Sharifuddin dalam pernyataan pembelaannya, menafikan bahawa keempat-empat kenyataan itu memfitnah Mukhriz dan menegaskan bahawa kenyataan itu bertujuan membalas tuduhan tidak benar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Defendan itu berkata beliau tidak pernah berniat jahat dalam mengeluarkan kenyataan media itu yang disiarkan untuk pengetahuan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Beliau berkata beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk mempertahankan perdana menteri dan membalas tuduhan tidak benar supaya rakyat memperoleh gambaran dan fakta tepat, yang sengaja diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik. -- BERNAMA