Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak akan diperluas ke 12 negeri secara berperingkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata fasa pertama penubuhan mahkamah khas itu membabitkan Sarawak, Selangor dan Johor dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Semalam saya telah bentangkan memorandum bagi memperluaskan penubuhan mahkamah khas ini di seluruh negeri dan Kabinet telah bersetuju untuk mahkamah ini diwujudkan secara empat fasa, dengan fasa pertama di tiga negeri ini yang mencatat kadar kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tinggi.

"Kita berharap dengan kewujudan mahkamah khas ini akan dapat selesaikan kes-kes jenayah seksual kanak-kanak dalam tempoh setahun seperti yang diarahkan ketua hakim negara dan memberi mesej bahawa kerajaan tidak akan melambat-lambatkan pendakwaan di negeri-negeri berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak Negeri Selangor 2017 anjuran Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) di sini pada Khamis, yang turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Azalina berkata fasa kedua penubuhan mahkamah khas itu akan dilaksanakan di Kedah dan Perlis (disekalikan), Kelantan dan Pahang; fasa ketiga di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka sementara fasa keempat di Sabah, Perak dan Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan untuk memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ke negeri-negeri lain adalah berikutan terdapat banyak kes yang didaftarkan di mahkamah khas pertama di Putrajaya berjaya diselesaikan dengan cepat.

"Bagi kes-kes di (mahkamah khas) Putrajaya, terdapat 303 kes didaftarkan sejak tiga bulan mahkamah ini diwujudkan dan daripada jumlah itu, 255 kes atau 84 peratus telah diselesaikan. Ini membuktikan mahkamah ini mencapai objektif dan menyelesaikan kes secara efisien dalam tempoh kurang 12 bulan.

"Mahkamah di negeri-negeri ini akan dilengkapi dengan fasiliti yang sama seperti di Putrajaya seperti Court Recording Transcription (CRT) dan Sistem Audio Visual. Kita juga berharap Yayasan Permata akan turut membiayai bilik saksi dan bilik menunggu saksi kanak-kanak di negeri-negeri ini seperti yang dilakukan di Putrajaya," katanya.

Bagi memastikan mahkamah khas di 12 negeri ini dapat beroperasi dengan efektif, beliau berkata latihan pengkhususan kepada pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan yang mengendalikan kes-kes jenayah seksual kanak-kanak juga akan dilaksanakan.

Azalina berkata pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) dengan pihak mahkamah pada Jumaat bagi membincangkan keperluan mewujudkan pembukuan khas bagi pensaksian yang membabitkan kanak-kanak.

"Bila ada pensaksian kanak-kanak kena ada 'apa yang boleh dan tidak boleh'. Saya akan rujuk semula kepada Akta Keterangan Kanak-Kanak 2007 dan kita akan kaji semula sama ada nak buat pindaan termasuk yang membabitkan keterangan kanak-kanak dalam bentuk rakaman, kita perlu kaji tentang pemeriksaan balas dan sebagainya.

"Saya harap kalau kajian itu saya boleh bawa ke Kabinet, mungkin ketika persidangan dewan (Dewan Rakyat) bulan Oktober ini saya boleh bawa cadangan untuk pindaan (Akta Keterangan Kanak-Kanak)," katanya.

-- BERNAMA