Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak mula bicara kes 4 Julai

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak mula bicara kes 4 Julai
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Istana Kehakiman. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman di sini.

Penubuhan mahkamah itu selaras dengan pelaksanaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Buat permulaan ini, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya ini, akan mendengar kes-kes yang berlaku di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"InsyaAllah, penubuhan Mahkamah ini nanti akan kita perluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia," katanya selepas merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri yang juga penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melihat dari dekat kemudahan yang terdapat di Bilik Permata iaitu Bilik Menunggu Saksi Kanak-Kanak pada perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
Perbicaraan kes pertama jenayah kanak-kanak berkenaan akan bermula pada 4 Julai depan.

"Semestinya, mahkamah ini akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan," katanya lagi.

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak disifatkan berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada, yang mengendaikan kes-kes, di mana pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.

"Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang baru ditubuhkan ini, adalah untuk membicarakan kes-kes jenayah seksual, di mana mangsanya merupakan kanak-kanak.

"Pasti sekali, dengan kewujudan Mahkamah ini, sekaligus akan mempercepat dan melancarkan semua prosiding serta perbicaraan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak," ujar beliau.


Perdana Menteri juga menyarankan agar suatu garis panduan khas dirangka untuk mengendali kes-kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak dalam tempoh masa terdekat.

"Bagi memenuhi hasrat ini, sebuah jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak Mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa NGO kanak-kanak, termasuk UNICEF, perlu diwujudkan, untuk merangka garis panduan khas ini.

"Tambahan lagi, garis panduan khas yang bakal dirangka ini perlulah menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak, serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia," ujar beliau.

Bertempat di tingkat dua di Istana Kehakiman, antara kemudahan yang disediakan adalah lebih menjurus untuk memenuhi keperluan saksi kanak-kanak.

Ia termasuk Kelengkapan sistem Court Recording and Transcription (CRT), bilik saksi dan menunggu mesra kanak-kanak yang dilengkapi dengan kemudahan video-link, serta kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

"PERMATA, turut membantu dalam menyumbang kepada penyediaan kelengkapan di bilik saksi dan menunggu kanak-kanak untuk mahkamah ini," kata beliau.

Perdana Menteri ketika sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos 2016 lalu telah mengumumkan penubuhan sebuah Task Force bagi mengkaji dan meneliti isu-isu berkaitan jenayah seksual kanak-kanak yang kian meruncing di negara ini.

Hasil daripada rundingan, penelitian dan cadangan Task Force ini, satu Pakej Perundangan Jenayah Seksual Kanak-Kanak, yang merangkumi  undang-undang baharu dan khas, melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah seksual kanak-kanak seperti child grooming dan child pornography telah dibentangkan pada sesi Parlimen yang lalu.

Melalui sesi perbahasan Rang Undang-Undang atau RUU tersebut, yang berlangsung selama hampir 15 jam di Dewan Rakyat, akhirnya Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, telah berjaya diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 4 April 2017.

Seterusnya, RUU itu dibahaskan pula di  Dewan Negara dan diluluskan pada 26 April 2017.