Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak tidak akan ditutup

Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak tidak akan ditutup
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan tak pernah berhasrat menutup Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak dan pada masa ini, semua mahkamah ini beroperasi seperti biasa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak tidak akan ditutup, malah ia bakal diperluaskan, Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sedang membuat persediaan untuk memperluas mahkamah berkenaan di Selangor, Pahang dan Johor.

Beliau berkata setakat ini, terdapat dua mahkamah berkenaan iaitu di Putrajaya yang beroperasi pada 23 Jun tahun lepas dan sebuah lagi di Kuching, Sarawak yang mula beroperasi pada 18 April lalu.

"Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan tak pernah berhasrat menutupnya dan pada masa ini, semua mahkamah ini beroperasi seperti biasa.
"Oleh itu, khabar angin yang kononnya mengatakan saya umumkan mahkamah khas ini akan ditutup adalah tidak benar," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Penubuhan mahkamah berkenaan yang bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak adalah selaras dengan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 yang diluluskan di Parlimen, April tahun lepas.

Ia memberi tumpuan kepada kes-kes seperti pornografi, dandanan seksual kanak-kanak dan serangan seksual kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif, Liew menjelaskan ia telah dijalankan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak timbul soal campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman negara.

Menjawab celahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang mahu tahu sama ada wujud isu dua ketua hakim negara pada satu masa selepas Richard Malanjum dilantik pada 11 Julai lepas, sedangkan peletakan jawatan Md Raus hanya efektif pada 31 Julai, Liew berkata isu berkenaan tidak timbul.

“Tarikh peletakan jawatan Tun Md Rauf ditetapkan pada 10 Julai, sehari sebelum pelantikan Malanjum.

“Dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, dengan sendiri ia menggantikan tarikh peletakan jawatan yang dinyatakan terdahulu iaitu pada 31 Julai 2018. Jadi, tak timbul soal terdapat dua ketua hakim dalam satu masa, kerana pelantikan ketua hakim yang baharu dibuat selepas peletakan jawatan ketua hakim terdahulu berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berkenaan pemansuhan Akta Majlis Keselamatan Negara dan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja bagi menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad seperti mana dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, Liew berkata kedua-duanya masih dalam kajian. — Bernama