Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan Kerajaan Negeri Sembilan dan empat pihak lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang menghukum lelaki Islam berpakaian seperti wanita sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Pada prosiding hari ini, Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa tiga orang transgender menggunakan saluran undang-undang yang salah untuk mencabar Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam yang berpakaian seperti wanita.

Enakmen itu menghukum lelaki Islam yang berpakaian atau berkelakuan seperti wanita.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, berhujah bahawa mereka sepatutnya mencabar isu kesahihan enakmen dari segi Perlembagaan melalui petisyen yang difailkan terus kepada Mahkamah Persekutuan.

"Hari ini saya hanya naikkan dua soalan pokok, pertamanya melibatkan sama ada prosedur responden menentang Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan ini mengikut cara yang sepatutnya.

"Mereka sepatutnya menggunakan Artikel 44 Perlembagaan Persekutuan membawa kes itu terus ke Mahkamah Persekutuan dan mendapatkan kebenaran memandangkan mereka mencabar undang-undang negeri yang bertentangan dengan hak asasi manusia," jelasnya ketika ditemui selepas sesi prosiding di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil untuk memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (Negeri Sembilan) 1992, yang menghukum lelaki Islam berpakaian seperti wanita, adalah tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau berkata, rayuan itu 'pramatang' kerana Mahkamah Syariah Seremban tidak membuat keputusan selepas ketiga-tiga mereka didakwa.

"Mereka sepatutnya menunggu mahkamah agama membuat keputusan sebelum datang ke mahkamah sivil.

"Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak seharusnya melayan permohonan dan rayuan mereka," kata Muhammad Shafee.

Pada 27 Januari lalu, panel lima Hakim Persekutuan membenarkan permohonan rayuan terhadap keputusan itu dibuat dengan berasaskan persoalan undang-undang yang ditetapkan sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 bercanggah dengan Perkara 5 (1), Perkara 8 (1) dan (2), Perkara 9 (2) serta Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 menyentuh hak rakyat dan kebebasan diri, Perkara 8 mengenai hak sama rata, Perkara 9 berkenaan larangan buang negeri serta hak rakyat untuk bergerak secara bebas dan Perkara 10 berkaitan hak kebebasan bersuara.

Tiga orang transgender, Muhammad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 - membuat rayuan yang mendakwa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 tidak terpakai kepada mereka sebagai penghidap masalah kecelaruan jantina.

Pada 11 Okt 2012, Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga transgender itu dan memutuskan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah diketepikan kerana mereka dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam.

Pada 7 Nov 2014, Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Kerajaan Negeri Sembilan dan empat pihak lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Panel itu terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.