Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan penahanan dan pendakwaan ke atas bekas aktivis sosial dan politik Dr Kassim Ahmad kerana dikatakan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama, adalah tidak sah dan batal.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim juga memutuskan bahawa penangkapan Kassim adalah tidak wajar mengikut undang-undang.

Panel dengan itu sebulat suara membenarkan rayuan Kassim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi semakan kehakiman terhadap keputusan ketua pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan untuk mendakwanya di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Kempat-empat responden iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan ketika itu dan kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Kassim.

Kassim, 82, didakwa atas tiga pertuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama, di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 27 Mac tahun lepas. Kes itu ditetapkan untuk didengar pada 18 Jan tahun depan.

Hakim Ong yang membacakan penghakiman memutuskan bahawa pendakwaan terhadap Kassim di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya adalah tidak sah dan terbatal kerana Kassim menetap di Kedah, sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Kedah sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Panel juga memutuskan bahawa penahanan Kassim pada 26 Mac tahun lepas di rumahnya di Taman Kulim Perdana, Kulim, Kedah adalah menyalahi undang-undang kerana ia tidak mengikut Enakmen Syariah Kedah.

"Ia tidak mengikut peraturan Enakmen Syariah Kedah. Adalah mandatori bagi beliau (Kassim) dihadapkan di hadapan Kadi Kedah, tempat beliau ditahan," katanya.

Hakim berkata Kassim telah dibawa ke Pulau Pinang sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

"Fatwa (berhubung pertuduhan) hanya tertakluk bagi umat Islam yang menetap di Wilayah Persekutuan, perayu (Kassim) yang bermastautin di Kedah tidak dipertikaikan. Memandangkan dia tidak ditangkap di Wilayah Persekutuan, oleh itu beliau tidak tertakluk kepada Fatwa," kata Hakim Ong.

Panel kemudian memerintahkan supaya jumlah ganti rugi ditaksir oleh pendaftar Mahkamah Tinggi berdasarkan trauma, aib dan perasaan terjejas yang dialami oleh Kassim bagi penahanan secara salah dan pendakwaan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Kassim berkata "Alhamdulillah, kami telah menang dan saya harap JAWI akan tarik balik pertuduhan terhadap saya".

Pada 6 Jan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kassim bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan JAWI untuk mendakwanya di Mahkamah Tinggi Syariah atas tiga pertuduhan.

Kassim diwakili oleh peguam Rosli Dahlan sementara peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili keempat-empat responden.