Mahkamah Rayuan Singapura hari ini membuat keputusan membenarkan permohonan rakyat Malaysia, Pannir Selvam a/l Pranthaman untuk menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.

Pannir, 32, yang diwakili oleh peguam Too Xing Ji dan Lee Ji En dari BMS Law, dijadual menjalani hukuman mati pada subuh esok.

Dia mengemukakan permohonan itu sementara menunggu satu pencabaran ke atas penolakan pengampunan.

Surat daripada Presiden Singapura yang menolak pengampunan itu dan pemakluman hukuman itu kedua-duanya bertarikh 17 Mei, 2019 tetapi surat yang memaklumkan kepada ahli keluarganya mengenai hukuman mati itu dihantar pada 16 Mei, 2019.

Permohonan Pannir didengar di hadapan Ketua Hakim, Sundaresh Menon dan dua Hakim Rayuan, Judith Prakash dan Steven Chong.

Dalam keputusannya, Menon berkata, Pannir "perlu mempunyai peluang munasabah mendapatkan nasihat mengenai sama ada beliau boleh memenangi cabaran dengan penuh jaya."

"Yang jelas, beliau dimaklumkan kedua-duanya iaitu penolakan petisyen pengampunan dan tarikh jadual hukuman mati hanya satu minggu sebelumnya".

Hakim-hakim berkenaan juga mengambil pertimbangan bahawa Too hanya timbul dalam gambaran sebagai peguam Pannir hari ini.

"Untuk berlaku adil terhadap beliau, kita tidak boleh menjangka beliau dalam keadaan mengemukakan satu hujah yang maju. Dalam keadaan itu kita merasakan bahawa hukuman itu perlu kekal sehingga perintah selanjutnya.

"Perayu mempunyai dua minggu untuk mengemukakan permohonan hasratnya bersama-sama dengan sebarang bukti sokongan. Pendakwaraya mempunyai tempoh dua minggu untuk menjawab.

"Kedua-dua pihak perlu mengemukakan rangka fail dalam masa satu minggu respon oleh pendakwaraya dan perkara untuk menetapkan semula bagi perbicaraan dalam notis singkat," kata Menon.

Pannir didapati bersalah pada 27 Jun, 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84 g diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept, 2014.

Yang turut hadir di mahkamah ialah keluarganya dan penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran dan pengarah eksekutif Latheefa Koya.

Sementara itu, bapa Pannir, Pranthaman a/l Rajoo begitu gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan Singapura untuk menangguhkan hukuman itu dan berkata beliau berdoa ia tidak sekejap sahaja.

-- BERNAMA