Mahkamah Singapura telah mengeluarkan perintah untuk melupuskan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan/atau SRC International Sdn Bhd.

Menurut firma guaman Tan Rajah Cheah, dana yang dikembalikan setakat ini berjumlah kira-kira S$15.3 juta (RM46.3 juta) dalam pelbagai mata wang.

Jumlah yang diperoleh itu hanya fasa pertama dalam usaha untuk mendapatkan semula dana yang diseleweng daripada 1MDB dan SRC International.

"Semua wang ini sedang dipindahkan ke akaun bank khas pemerolehan dana 1MDB di Kuala Lumpur.

"Usaha bagi mendapatkan semula asset-aset lain yang diseleweng masih sedang dijalankan," kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, usaha berkenaan sedang giat dijalankan dan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai.

Tan Rajah Cheah adalah peguam cara bagi Kerajaan Malaysia, 1MDB dan SRC International.