Perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan pertuduhan rasuah, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram akan disambung semula di Mahkamah Tinggi di sini, 15 Jun ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, pada Selasa, yang menetapkan tempoh perbicaraan selama 30 hari bermula pada 15 hingga 18 Jun; 2, 3, 13, dan 14 Julai; 27 hingga 30 Julai; 10 hingga 14 Ogos; 24 hingga 28 Ogos serta 21 hingga 30 September.

Kali terakhir prosiding perbicaraan kes Presiden UMNO itu yang didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan membabitkan dana Yayasan Akalbudi, adalah pada 6 Mac lepas dan sepatutnya bersambung pada 23 Mac lalu.

Bagaimanapun mahkamah menangguhkan kes itu hampir dua bulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil lebih 50 saksi pendakwaan termasuk pegawai bank bagi pengesahan cek.

Katanya, setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 43 saksi untuk memberi keterangan.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memohon kepada mahkamah agar membenarkan penambahan dua pembantunya untuk turut hadir semasa perbicaraan.

"Pasukan peguam yang mewakili Ahmad Zahid termasuk saya (Hisyam) adalah tiga orang dan saya memohon tambahan lagi dua orang untuk hadir pada perbicaraan kes itu.

"Kami akan pastikan jarak antara kami sentiasa terjaga. Kami memerlukan mereka di mahkamah untuk membantu membuat catatan dalam perbicaraan," katanya.

Tambahnya, perkara itu turut dipersetujui oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Sequerah hanya membenarkan penambahan seorang wakil sahaja daripada kedua-dua pihak.

Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, rasuah (lapan) dan pengubahan wang haram (27) membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.