Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh keputusan kes melibatkan pertuduhan dihadapi anak Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, berhubung penyalahgunaan dadah.

Keputusan dibuat Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim selepas mendapati tiada hujahan balas daripaada pihak pendakwaan kepada pembelaan.

Peguam bela Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful memaklumkan mahkamah bahawa dokumen telah dihantar kepada pihak pendakwaan pada 27 November lalu.

Mahkamah menetapkan 18 Disember ini sebagai hujahan balas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid sebelum keputusan kes.

Terdahulu Ahmad Saiful tiba di Mahkamah pukul 9 pagi berpakaian kemeja-T bewarna merah putih.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 13 Jun lalu atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah pusat hiburan di Ibu negara pada Januari.

Dia ditahan dalam Op Pusat Hiburan Bersepadu oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 12.30 tengah malam.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya.


BACA: 'Anak saya sama seperti anak orang lain', Mat Sabu serah pada pihak berkuasa


BACA: 'No double standard' - Keputusan laporan sampel anak Mat Sabu akan dipercepat