Mahkamah Tinggi di sini membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menggantung sementara penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.

Susulan itu, dua penerbitan itu boleh meneruskan operasi seperti biasa dan mencetaknya.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan untuk semakan kehakiman difailkan oleh The Edge Communication Sdn Bhd, hari ini.

Beliau juga memerintah supaya ganti rugi dialami dua penerbitan itu dinilai dan menetapkan kos perundangan berjumlah RM15,000.

Dalam penghakiman secara lisan, Asmabi berkata keputusan Menteri Dalam Negeri untuk menggantung penerbitan itu selama tiga bulan telah melanggar keadilan semulajadi dan ultra vires terhadap Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata responden tidak mematuhi prosedur keadilan kerana tidak memberikan butiran bagi pengantunggan itu kepada pemohon (The Edge) dalam surat tunjuk sebab.

Asmabi berkata menteri juga telah membuat pertimbangan tidak relevan untuk mengenakan larangan itu dan tidak memberikan butiran kepada pemohon untuk menjawab dakwaan itu.

"Responden masih tidak mematuhi ketetapan prosedur keadilan dalam mengeluarkan surat tunjuk sebab kerana tiada butiran ditunjukkan dalam surat tunjuk sebab itu dan tindakan itu yang akhirnya telah diambil, yang tidak dinyatakan dalam surat tunjuk sebab itu adalah sama seperti melanggar keadilan semulajadi yang perlu dipatuhi oleh semua pembuat keputusan," katanya.

Sementara itu, selepas prosiding, Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching memberitahu pemberita, beliau perlu mendapatkan arahan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum mengambil keputusan untuk merayu.

Katanya: "Kami hanya mempunyai masa sebulan untuk berbuat demikian kerana penggantungan itu tamat pada 27 Okt".

Syarikat itu yang diwakili peguam Darryl Goon memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk semakan kehakiman pada 27 Julai, dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

The Edge Communications Sdn Bhd telah memohon kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perintah 53 Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012 bagi perintah certiorari untuk mahkamah membatalkan keputusan menteri itu.

Menteri, dalam surat bertarikh 23 Julai yang ditandatangani oleh individu bernama Hashimah Nik Jaafar bagi pihak menteri, memaklumkan syarikat itu berhubung penggantungan permit kedua-dua penerbitan itu.

Menurut surat dihantar kepada editor kanan syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris, kementerian itu menyatakan artikel mengenai 1Malaysia Development Berhad disiarkan The Edge boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara.

Ia juga menyatakan kegagalan untuk mematuhi perintah penggantungan itu akan menyebabkan pembatalan permit penerbitan bagi kedua-dua penerbitan itu.