Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan tuntutan saman difailkan oleh Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, J R Deepak Jaikishan, terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ketiga-tiga defenden bagi membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka pada 2018 berhubung cukai yang dialami selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan itu.

Peguam Datuk David Mathews yang mewakili Najib dan Rosmah memberitahu pemberita bahawa keputusan itu dibuat atas alasan kes plaintif jelas tidak dapat dikekalkan.

"Pernyataan tuntutan tidak mendedahkan alasan yang munasabah berhubung tindakan itu kerana elemen penting untuk menyokong tuntutan konspirasi merosak, misfeasans dalam kedudukan awam dan melanggar tugas tidak dapat dipertahankan," katanya.

Hadir sama, peguam Datuk Prem Ramachandran dan Arwinder Kumar mewakili Abdul Azeez selain peguam Irwan Iswat Mohd Noor dan Nasbal Harun yang mewakili Deepak serta dua lagi plaintif iaitu adiknya, J. Rajesh dan Carpet Raya.

Mahkamah turut mengarahkan plaintif membayar kos RM15,000 kepada pasangan itu dan RM10,000 kepada Abdul Azeez.

Deepak pada 15 November 2018 menfailkan saman terhadap tiga individu itu.

Dalam saman itu, Deepak mendakwa antara 2004 hingga 2010, dia bertindak sebagai ejen dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan atas arahan pasangan berkenaan.

Bagaimanapun Deepak mendakwa beliau menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN) pada 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan terhadap Carpet Raya dan cukai pendapatannya berjumlah lebih RM6 juta tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Plaintif juga mendakwa pasangan berkenaan turut mengarahkan tindakan undang-undang dibuat terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat terbabit pada 22 Mac 2017 oleh LHDN.

Akibat petisyen itu, perniagaan dan reputasi plaintif terjejas serta dia dilarang meninggalkan Malaysia serta kemudahan perniagaan ditarik oleh pihak bank manakala kontrak dengan sebuah syarikat turut dibatalkan.

Plaintif menuntut pasangan itu berkenaan membayar tunggakan cukai RM6 juta yang dikenakan terhadap syarikat itu serta bayaran ganti rugi sebanyak RM500,000 yang dibayar kepada pihak bank.

Selain itu, plaintif menuntut RM47juta untuk ketidakupayaan syarikat memenuhi kontrak dan jualannya, RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan sebuah syarikat, RM200 juta atas dakwaan fitnah serta RM37 juta kerugian yang disebabkan oleh salah laku defendan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta.