Tutup

Mahkamah Tinggi Kuching tolak rayuan Petronas tangguh kes saman SST

Mahkamah Tinggi Kuching tolak rayuan Petronas tangguh kes saman SST
Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak di kamarnya di Kompleks Mahkamah Kuching pada Selasa. - FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi menangguhkan prosiding tuntutan mahkamah yang difailkan komptroler cukai jualan negeri (SST) dan kerajaan Sarawak.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak di kamarnya di Kompleks Mahkamah Kuching pada Selasa.
Sebelum ini Petronas melalui peguamnya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar meminta penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menurut Penasihat Undang-Undang Sarawak, Datuk Seri J.C.Fong, hakim tidak membenarkan prosiding ditangguh dan mengarahkan pendengaran kes untuk diteruskan pada 13 Mac selepas keputusan semakan kehakiman.
“Rayuan boleh dibuat, terpulang kepada mereka (Petronas) mahu membuat rayuan atau tidak, kena tanya mereka. Apa yang kita pasti, pendengaran akan dibuat pada 13 Mac ini jam 2:30 petang. Pada sebelah pagi ialah penyampaian penghakiman oleh Ketua Hakim Azhari (Azahahari Kamal Ramli), pada sebelah petang itu adalah pendengaran kes,” ujarnya.

Menerusi satu kenyataan bertulis daripada mahkamah, Hakim Christopher Chin membuat keputusan itu berdasarkan beberapa perkara berkaitan kredibiliti kepada institusi kehakiman.

Antaranya bagi mengelak sebarang persepsi terhadap beliau termasuk gagal dalam menunaikan tanggungjawab, serta mengesahkan kecacatan dalam sistem pengesahan perundangan kehakiman.

Chin menjelaskan sekiranya rayuan Petronas itu diterima, ia sama seperti mengakui penolakan Recusal of Judge sebelum ini mempunyai kecacatan dan keputusan dibuat adalah untuk melindungi Institusi Kehakiman.

Komptroler SST Sarawak dan kerajaan negeri memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 21 November lalu terhadap Petronas kerana kegagalan syarikat itu membayar cukai berjumlah RM1.3 bilion sejak dikuatkuasa pada 1 Januari 2019.


Tag: SST, Petronas, Sarawak, Mahkamah Tinggi Kuching, Christopher Chin, AWANI Sarawak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.