Tutup

Mahkamah Tinggi tangguhkan fatwa sesat terhadap Sisters In Islam

Mahkamah Tinggi tangguhkan fatwa sesat terhadap Sisters In Islam
Rozana berkata, buat masa ini Sisters in Islam akan meneruskan usaha mendapatkan hak terhadap wanita Islam dan kanak-kanak. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan fatwa sesat yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia).

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan perkara berkenaan sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh SIS pada September tahun lalu.
Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa menyambut baik keputusan mahkamah itu biarpun ia hanya bersifat sementara sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan.

"Seperti yang dijelaskan oleh peguam kami, ini hanya sementara sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diputuskan.
"Buat masa ini (kami) menantikan perbicaraan itu dan kami gembira kes ini didengar dan berharap keadilan ditegakkan," katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Rozana berkata, buat masa ini mereka akan meneruskan usaha mendapatkan hak terhadap wanita Islam dan kanak-kanak.

SIS diwakili oleh peguam Surendra Ananth dan Maizatul Amalina manakala Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan bahawa isu fatwa berada dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

September lalu, SIS memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka sebelum ini.


Tag: Mahkamah Tinggi, Sister In Islam, fatwa, Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, MAIS, Nordin Hassan, hakim, Rozana Isa, Mahkamah Rayuan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.