Polis memburu dua beranak warga Indonesia selepas disyaki terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki warga Bangladesh sehingga membawa maut.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din kejadian berlaku di sebuah rumah bungalow di Petaling Jaya, jam 9.10 malam tadi.

“Polis menerima laporan mengenai seorang lelaki warga Bangladesh terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah selepas dipukul oleh seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Hardianto.

“Kejadian berpunca disebabkan mangsa telah menjiruskan air minuman kepada kucing dan terkena kepada suspek sehingga menyebabkan pergaduhan.

“Mangsa mengalami kecederaan beberapa tikaman di belakang badan yang dipercayai menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata rumah satu tingkat itu milik seorang wanita tempatan yang telah meninggal dunia dan tidak diketahui siapa pewarisnya, dan telah diubah suai dijadikan bilik sewa.

“Terdapat empat bilik tidur didiami oleh penyewa yang terdiri daripada beberapa warga asing. Penyewa membayar sewa kepada ibu suspek.

“Suspek dan ibunya telah melarikan diri selepas kejadian dan polis telah mengumpul beberapa bahan bukti seperti puntung rokok, sarung pisau, baju, seluar dan tiga cap jari serta kesan darah,” jelasnya.

Ekoran kejadian itu, polis giat memburu dua suspek berkenaan manakala bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan pada 10 pagi ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).