Polis memberkas tiga lelaki ketika sedang bermain meriam karbaid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 19 dan 22 tahun diberkas di tepi padang astaka Desa KPMP kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, hasil maklumat pasukan Task Force COVID-19 yang membuat rondaan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah pergi ke lokasi dan mendapati tiga lelaki sedang bermain meriam karbaid di kawasan padang awam.

Mereka turut dibantu anggota dari Balai Polis Kampung Gajah,

“Pegawai kanan polis telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan memeriksa butir-butir pengenalan ketiga-tiga mereka.

“Mereka juga tidak dapat memberikan alasan yang kukuh dan munasabah apabila ditanya sebab dan tujuan mereka berada di padang tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Foto PDRM

Barudin berkata, hasil siasatan awal mendapati mereka telah bermain meriam karbaid dari jam 9 malam dan telah melepaskan empat das tembakan sebelum ditahan.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu bersama-sama peralatan bermain meriam karbaid yang dirampas kemudiannya dibawa ke IPD Perak Tengah untuk tindakan lanjut.

Antara barangan yang dirampas ialah paip PVC yang telah diubah suai, paip simen yang telah diubah suai, kayu pencucuh, kayu yang telah diubah suai bersambung mangkuk keluli di hujungnya dan bekas plastik mengandungi serbuk warna putih disyaki karbaid.

Turut dirampas, bekas plastik berisi cecair berwarna kuning disyaki diesel dan guni plastik yang digunakan untuk menutup lubang meriam.

Foto PDRM

Katanya, dua daripada lelaki itu bekerja sebagai juruteknik elektrik swasta manakala seorang lagi peniaga air tebu.

Mereka tiada rekod jenayah lampau, di samping saringan air kencing menunjukkan mereka negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Barudin memberi amaran keras bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang menjual atau pun bermain mercun dan meriam karbaid.

“Kami juga mempunyai task force untuk tugas-tugas berkaitan mercun dan meriam. Masyarakat boleh menyalurkan kepada kami sekiranya ada maklumat mengenai penjual mercun atau mereka yang bermain meriam,” ujarnya.

Foto PDRM