Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melibatkan semua kesalahan jenayah syariah termasuk khalwat, melalui Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegaskan pelaksanaan undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri serta diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri.

"MAIS, bagaimanapun akan sentiasa memantau dan memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah bertepatan dengan prosedur operasi standard (SOP) diluluskan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Justeru, MAIS menasihati semua umat Islam di Selangor untuk tidak melakukan apa-apa kesalahan termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohammed Khusrin menggesa semua pihak untuk memberi maklumat berkaitan apa-apa perbuatan jenayah syariah yang berlaku untuk tindakan penguatkuasaan, ke hotline JAIS 1-800-88-2424.

Isu khalwat menjadi tumpuan selepas sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan pada Sabtu lepas (6 Okt) menyiarkan laporan temu bual bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bertajuk 'No More Moral Policing' serta versi dalam talian 'No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives, says Mujahid'. ('Tiada lagi kepolisan moral' dan 'Tiada lagi serbuan khalwat waktu malam atau menerjah kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid')

Laporan berkenaan mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuklah mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mengkritik serta menyokong kenyataan berkenaan.

BACA: Saya maafkan kritikan mereka, biarpun mereka tidak cuba memahami - Mujahid

BACA: Mujahid tidak ada kuasa ubah operasi khalwat - Asyraf Wajdi


Mujahid, bagaimanapun tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan tersebut ketika ditemu bual wartawan akhbar berkenaan, dan mendakwa perkara itu dirumus sendiri media berkenaan.

BACA: Akhbar The Star digesa mohon maaf secara terbuka

BACA: Kenyataan saya disalah tafsir - Mujahid


Beliau turut meminta agar akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka dan ia perlu disiarkan di dalam akhbar serta portal mereka.

-- BERNAMA