Tutup

MAIWP cadang memasyarakatkan masjid, santuni pelbagai kaum

MAIWP cadang memasyarakatkan masjid, santuni pelbagai kaum
Masjid seharusnya dijadikan tempat untuk memupuk keharmonian komuniti kerana terletak dalam kawasan kejiranan berbilang kaum dan agama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bercadang mengadakan rumah terbuka bagi menyambut perayaan pelbagai kaum di perkarangan masjid terpilih di ibu negara mulai tahun hadapan.

Pengerusinya Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata ia sebagai langkah mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di negara ini, selain menyemai sifat hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama masyarakat.
"Saya turut mencadangkan dalam ucapan saya tadi agar JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) memilih tiga hingga lima masjid di dalam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina dan juga rumah terbuka perayaan lain seperti Deepavali dalam satu komuniti.

"Kerana dalam Wilayah Persekutuan ini (Kuala Lumpur), masjid-masjid terletak dalam komuniti yang mempunyai pelbagai kaum... di luar kawasan itu (perkarangan masjid) kita boleh adakan satu khidmat masyarakat yang melibatkan kaum berbilang agama," katanya kepada pemberita selepas Program Rahmah MAIWP Bersama Saudara Kita sempena Tahun Baru Cina, di sini pada Selasa.
Terdahulu, MAIWP menyantuni seramai 100 golongan mualaf khususnya berbangsa Cina serta kaum lain serta menyampaikan sumbangan sagu hati bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"Kita menyantuni mereka untuk mewujudkan perpaduan. Kita nak bawa nilai universal iaitu mengambil berat, belas kasihan dalam Islam, berkasih sayang antara satu sama lain, inilah nilai yang kita nak pupuk dalam kalangan pelbagai kaum dan agama di Malaysia," jelasnya.

Beliau seterusnya berkata sambutan yang pertama kali dianjurkan MAIWP itu selari dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin (rahmat sekalian alam) yang diperkenalkan kerajaan untuk menjelaskan bahawa Islam adalah sebuah agama 'Rahmah' yang menyeru kepada kedamaian dan kasih sayang.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Kuala Lumpur, Dr Ann Wan Seng berkata majlis yang diadakan hari ini bertujuan memupuk sifat saling memahami.

"Kita nak beri masyarakat pendedahan tentang sambutan Tahun Baharu Cina ini tidak bercanggah dengan agama Islam contohnya, kita masih melakukannya dalam ruang lingkup yang dibenarkan dalam Islam," jelasnya.

Beliau turut berkata usaha untuk memasyarakatkan masjid merupakan cadangan baik untuk merapatkan jurang antara masyarakat bukan Islam dengan umat Islam dengan aktiviti yang tidak melibatkan keagamaan.

-- BERNAMA