Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM87.57 juta merangkumi sembilan skim bantuan untuk membantu golongan asnaf seluruh negara tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata MAIWP sehingga kini menawarkan 28 skim bantuan zakat merangkumi bantuan dari aspek keperluan asasi, pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

"MAIWP setiap bulan mengagihkan bantuan kewangan berjumlah RM200 hingga RM700 yang dimasukkan terus ke akaun golongan asnaf.

"Sehingga kini, hampir 24,000 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf menerima bantuan ini," katanya pada Majlis Rahmah Bersama Rakyat dan Pengurniaan Bantuan Kepada Asnaf Labuan di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan pada Selasa.

Katanya, di Labuan sahaja terdapat 2,413 ketua keluarga yang menerima bantuan bulanan ini sehingga Oktober tahun ini.

"Pada tahun 2018, seramai 10 usahawan berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan meraih pendapatan antara RM8,000 hingga RM24,000 sebulan.

"MAIWP mulai tahun ini akan melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan iaitu mengeluarkan asnaf fakir dan miskin daripada kepompong kemiskinan pada kadar dua hingga empat peratus setahun yang turut merangkumi asnaf di Labuan," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di sini.

Sumbangan itu berbentuk bantuan peralatan persekolahan bagi sesi pembelajaran tahun 2020 dan bantuan am pelajaran institusi pengajian tinggi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mengurniakan insentif khas pelajar cemerlang dan biasiswa Baitulmal MAIWP dan bantuan peralatan kesihatan kepada golongan asnaf.

Jumlah keseluruhan bantuan yang dikurniakan pada majlis itu ialah RM2.43 juta.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua berkenan menyantuni golongan asnaf dan orang ramai.

Lebih 900 rakyat Labuan pelbagai agama dan bangsa, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat menghadiri majlis itu.

-- BERNAMA