Majikan di negara ini dicadang membiayai kos rawatan kesihatan mental pekerja mereka dan tidak mendiskriminasikan penyakit berkenaan.

Pengasas, Pengerusi dan Pengarah Urusan Qualitas Medical Group (Qualitas), Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata, ia berikutan ketika ini, masih ramai majikan dan syarikat yang tidak melihat kepentingan langkah berkenaan.

Katanya, rawatan kesihatan mental perlu dimasukkan dalam insurans perlindungan pekerja dan dipersetujui oleh pihak majikan.

"Mekanisme pembayaran sekarang ialah kebanyakan majikan tidak akan membiayai penyakit berkaitan kesihatan mental. Saya berpendapat mereka (majikan) perlu bayar untuk (rawatan) penyakit mental.

"Ini kerana ia adalah sebahagian daripada penyakit dan syarikat insurans sepatutnya melindungi mereka tanpa pengecualian," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, kira-kira 12,000 doktor perubatan yang ada di negara ini juga perlu dilatih untuk memberikan rawatan kepada pesakit yang mempunyai tanda-tanda kesihatan mental.

Malah, jelasnya bagi menjayakan usaha berkenaan, kumpulan pesakit tersebut perlu dirawat atau dilayan sama seperti pesakit lain.

"Saya rasa tidak sepatutnya penyakit kesihatan mental didiskriminasikan kerana ia adalah suatu proses normal yang dilalui seseorang," tambahnya.

Beliau juga berpendapat syarikat-syarikat perlu melakukan saringan kesihatan dilakukan bagi mengenal pasti tahap tekanan dihadapi pekerja mereka.

"Apa yang kami mulakan sekarang ialah kajian terhadap tahap tekanan seseorang pekerja. Contohnya, adakah anda didiskriminasi, menghadapi tekanan, dan banyak lagi.

"Kemudian, kami merujuk kepada bahagian sumber manusia dan mencadangkan agar mereka diletakkan di sesuatu lokasi sesuai dan diberi rawatan," kata Dr Noorul Ameen.

Tambahnya, pengesanan penyakit mental di peringkat awal terutama di tempat kerja akan dapat memastikan sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah keluarga.

"Kita tidak mahu pekerja ini menjadi masalah pula kepada keluarga mereka apabila pulang ke rumah yang memberi kesan kepada pasangan, dan anak-anak. Kemudian ia menjadi satu masalah yang besar dan sekali gus mengurangkan produktiviti pekerja berkenaan," ujar beliau.

Malah katanya, ada majikan yang didakwa tidak mahu ambil tahu mengenai keadaan kesihatan mental pekerja mereka walaupun ia mampu memberi kesan kepada produktiviti kerja.

"Jadi saya rasa perlu majikan perlu diwajibkan untuk membayar rawatan kesihatan mental pekerja mereka. Bahagian sumber manusia dan kerajaan juga perlu melihat semula perkara ini," kata Dr Noorul Ameen.