Tutup

Majikan perlu iktiraf aktiviti sukarela sebagai pengalaman bekerja

Majikan perlu iktiraf aktiviti sukarela sebagai pengalaman bekerja
Beberapa sukarelawan membersihkan sekolah pada program gotong royong di sekolah yang terjejas akibat banjir pada 2017. --fotoBERNAMA/Fail
KUALA LUMPUR: Aktiviti sukarela perlu diambil kira sebagai pengalaman bekerja oleh majikan, sama ada di sektor kerajaan mahupun syarikat swasta.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara, Abd Aziz Abd Rahman berkata, pengalaman dalam aktiviti sukarela memberi peluang cerah kepada seseorang calon dalam mendapatkan pekerjaan.

“Sekiranya keputusan akademik tidak memberangsangkan, pengalaman sukarelawan itu dapat membantu, dan boleh dianggap sebagai pengalaman bekerja.

“Majikan juga sudah tentu mencari pekerja yang mempunyai elemen seperti itu sekarang, yang terlibat secara langsung dengan komuniti dan masyarakat, selain membuat kerja-kerja hakiki.
“Jika mereka tidak pernah terlibat dengan masyarakat, bagaimana hendak terlibat dengan aktiviti Hari Keluarga dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dianjurkan syarikat, sekali gus menjadi pegawai yang bertanggungjawab?" soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Awani Pagi terbitan Astro AWANI hari ini.


Mengulas lanjut, Abd Aziz berkata, majikan kini bukan sahaja melihat kepada pencapaian akademik, tetapi juga latar belakang yang boleh menjadi nilai tambah kepada pekerja.

“Orang yang terlibat dengan aktiviti sukarela, apabila menjalankan tugas, mereka melakukannya dengan kerelaan.

"Kalau dulu 'Saya yang menurut perintah', sekarang 'Saya yang menjalankan amanah.'

"Ini juga secara tidak langsung membantu golongan belia yang mencari pekerjaan pertama, kerana kebanyakan majikan mahukan pengalaman bekerja,” jelas beliau.

Bagaimanapun, tahap kesukarelawan rakyat Malaysia masih lagi rendah berbanding di negara anggota ASEAN yang lain.

Abd Aziz berkata, negara berada pada tangga ke-13 di peringkat ASEAN, dalam Indeks Yayasan Bantuan Kebajikan Dunia (CAF) pada 2017.

“Negara jiran Indonesia berada di tangga pertama pada 2017, manakala Myanmar berada pada tangga pertama tahun lepas,” ujarnya.

Justeru, buat julung kalinya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mengadakan Hari Sukarelawan Peringkat Kebangsaan pada 7 Disember ini di Universiti Multimedia (MMU), sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa pada 5 Disember.

Ia merupakan pengiktirafan oleh kerajaan kepada sukarelawan yang telah menjalankan tugas kebajikan tanpa mengira penat lelah, masa dan wang ringgit.

KBS menyasarkan kehadiran seramai 1,000 peserta.