Tuduhan pemimpin DAP Lim Kit Siang berhubung kegagalan Malaysia dalam membida untuk menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disebabkan kegagalan kepimpinan adalah berniat jahat dan tidak berasas, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam menyangkal kenyataan media Lim itu, beliau berkata tuduhan itu juga merupakan penghinaan kepada negara ini dan ramai pegawai berdedikasi yang berusaha keras untuk melihat bendera negara berkibar megah di pertubuhan antarabangsa.

Beliau menjelaskan jika seseorang itu benar-benar memahami cara kerja sesebuah pertubuhan antarabangsa, dia akan menghargai hakikat bahawa kegagalan dalam membida bukan menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dalam pemerintahan sesebuah negara.

Sebaliknya, beliau berkata ia mungkin disebabkan beberapa perkara yang, antara lain, termasuk mendapatkan 'undi simpati' oleh calon yang mencuba kali pertama dan oleh calon yang kalah dalam bidaan sebelum ini.

"Tuduhan bahawa reputasi antarabangsa Malaysia dan kedudukan hak asasi manusianya jatuh merudum di bawah kepimpinan semasa tidak lebih daripada tindakan seorang lelaki (Lim) yang melepaskan kemarahannya terhadap kepimpinan semasa.

"Kenyataan ini tidak disokong fakta dan tidak masuk akal oleh kerana beliau (Lim) sendiri yang berhujah bahawa sesetengah negara yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang begitu buruk tetapi turut terpilih. Oleh itu, bukan setakat pendapatnya sendiri bercanggah, tetapi turut membuktikan bahawa teorinya yang mengaitkan kegagalan bidaan dengan kepimpinan semasa adalah cacat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah berkata kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB selama dua penggal sebelum ini merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia Malaysia.

"Malaysia telah memenangi beberapa pemilihan dalam pertubuhan antarabangsa sebelum ini dan baru-baru ini. Ke arah itu, kementerian saya berusaha keras untuk memastikan keputusan terbaik diperoleh tanpa mengira iklim politik di peringkat antarabangsa. Kita sebelum ini pun banyak meraih kejayaan, dan saya yakin, banyak lagi kejayaan yang akan dicapai," katanya.

Sebagai contoh, Anifah berkata di bawah kepimpinan Najib, Malaysia dilantik sebagai penyelaras Kumpulan Asia-Pasifik (APG) dalam Majlis Hak Asasi Manusia bagi 2016; dicalonkan untuk mewakili APG dalam Kumpulan Perundingan bagi tempoh April 2017-Mac 2018; anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB (2015-2016) dan menjadi anggota Lembaga Eksekutif UNESCO (2015-2019).

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga adalah anggota Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (2016-2019); anggota Suruhanjaya mengenai Had Pelantar Benua (2017-2022) atau dalam beberapa lagi Jawatankuasa dan Suruhanjaya.

"Lim membuat keputusan untuk mengabaikan kesemua pencapaian ini dan mengambil pendekatan yang agak peribadi dengan membuat andaian salah, pemikiran yang terikat dan tuduhan tidak berasas yang mengaitkan (dengan agak cetek) kegagalan bidaan Malaysia itu dengan kepimpinan perdana menteri, malah memanjangkan sehingga mengaitkannya dengan isu 1MDB," katanya.

Anifah berkata mereka yang terlibat dalam bidang hubungan antarabangsa amat menyedari bahawa mana-mana calon (sama ada Negara atau wakil) tidak akan menang setiap kali namanya dikemukakan.

"Ini disebabkan oleh keadaan geopolitik yang sentiasa berubah dan seringkali berlainan dalam landskap organisasi antarabangsa. Fakta ini mudah, malangnya ada pihak mendapati ia sukar untuk difahami," katanya.

-- BERNAMA