Tutup

Majoriti belia Malaysia di luar negara tidak setuju #Undi18

Majoriti belia Malaysia di luar negara tidak setuju #Undi18
Kelab Bunga Raya merupakan badan pemikir yang digerakkan oleh pelajar-pelajar Malaysia luar negara.
KUALA LUMPUR : Bancian oleh badan pemikir pelajar, Kelab Bunga Raya mendapati kebanyakan pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara tidak setuju cadangan yang dibawakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

"Hasil bancian yang melibatkan 1,907 responden menunjukkan sebanyak 1,304 (68.4%) responden tidak bersetuju dengan penurunan had umur menggundi kepada 18 tahun dan hanya 603 (31.6%) responden bersetuju dengan usul cadangan ini," jelas Kelab itu dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada Astro AWANI pada Isnin.

Bancian berkenaan dibuat menerusi platform sosial media antara 27 Jun 2019 dan 30 Jun 2019 lalu yang melibatkan lapan negara di termasuk Malaysia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Korea, Jepun dan New Zealand.

"Daripada lapan buah negara yang mengambil bahagian pula, hanya Jepun dan Perancis sahaja mendapat majoriti bagi menyokong usul yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini," jelas kenyataan itu.

Antara isu yang diketengahkan oleh responden di dalam bancian ini adalah mengenai isu-isu seperti kematangan serta kesediaan anak muda serta sistem pendidikan di Malaysia yang perlu ditambah baik bagi memastikan anak muda mampu memainkan peranan yang maksimum dalam pemilihan tampuk pemeritahan negara.
Kelab Bunga Raya juga percaya tentangan hebat terhadap penurunan had umur ini berpunca dari ketidakfahaman masyarakat tentang pentingnya meluaskan hak mengundi dalam sistem demokrasi atau 'enfranchisement'.

"Isu mengenai penurunan had umur ini juga tidak disampaikan serta diperjelaskan secara terus kepada rakyat dan tiadanya konsultasi awam melalui sesi-sesi seperti townhall atau forum di mana kerajaan pada hari ini dapat menerima pendapat masyarakat mengenai isu ini."

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa ketiadaan bancian rasmi yang dijalankan bagi mengetahui pendapat masyarakat mengenai isu yang sudah pastinya akan mendatangkan impak besar kepada sistem demokrasi negara.

"Namun begitu, Kelab Bunga Raya juga merasakan terdapat beberapa dasar yang harus dilaksanakan oleh kerajaan tidak mengira apa jua reaksi rakyat agar kerajaan Pakatan Harapan tidaklah hanya dilihat sebagai kerajaan populis semata-mata."
Katanya, kerajaan yang kuat dan berwawasan adalah kerajaan yang mampu melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memastikan kemampanan negara di masa hadapan dan tidak hanya mengikut retorik populis yang tidak akan menguntungkan negara kelak.

"Terdapatnya kelemahan pada semua sistem di dunia ini dan pastinya sistem demokrasi tidak boleh lari dari fakta tersebut.

"Justeru, dapatan ini diharap dapat membantu kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan agar dapat menggubal serta melaksanakan dasar yang mampu memanfaatkan rakyat serta negara pada tahap yang maksima." 

Kelab Bunga Raya merupakan badan pemikir yang digerakkan oleh pelajar-pelajar Malaysia luar negara.

Ia mewakili 1,500 pelajar Malaysia di sembilan buah negara.




Tag: undi18, had umur undi, Syed Saddiq, Kelab Bunga Raya


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.