Tidak lengkap Tahun Baru Cina tanpa jamuan makan besar bersama ahli keluarga.

Bukan hanya dikatakan membawa tuah tetapi tradisi ini kaya dengan nilai simboliknya.

Hidangan seperti ikan, udang, ayam, mee, limau mandarin serta kuih bakul antara sajian wajib ketika jamuan makan besar.

Pemilihan menu penting kerana setiap makanan yang dihidangkan memiliki makna berbeza.

Bagi simbolik ikan dan ayam, dalam perkataan Cina, ia membawa tuah yang banyak.

Menurut Penolong Ketua Masak The Westin Hotel, Shahril Omar, seekor ikan dan ayam yang dihidangkan itu melambangkan permulaan yang baik ke akhir tahun.

“Macam ikan, kita tahu ia akan memberi kemewahan dan memberi rezeki kepada mereka.

“Kita juga ada udang yang membawa keriangan bersama keluarga”, katanya baru-baru ini.

Tambah beliau, kuih bakul atau Nian Gao bermakna kek tahunan.

Gao, perkataan Cina bererti tinggi dan memberi simbolik kepada pencapaian tahap tertinggi pada tahun akan datang.

“Pada hari tu, benda benda yang kurang baik akan berlalu. Semuanya melambangkan semangat kekeluargaan”, katanya.

Menjelang Tahun Baru Cina, limau mandarin seringkali dipamerkan atau dihadiahkan kepada tetamu simbolik kepada kesejahteraan dan kemewahan.

Menurut Koordinator Pemasaran dan Komunikasi, Lim Tze Wen, jamuan makan besar bersama keluarga adalah wajib.

“Kita akan pergi ke restaurant Cina makan besar dan ada banyak lauk yang istemewa.

“Kita akan menempah pelbagai makanan sebanyak yang boleh dan dengan ini, ia juga dapat mengeratkan hubungan dengan saudara mara yang lama tidak berjumpa semasa Tahun Baru Cina”, katanya.

Manakala bagi Chow Shin Hui, seorang kerani pula berkata beliau mahu mengekalkan tradisi makan besar di kalangan golongan muda.

“Sebab ini adalah tradisi kita, saya rasa saya nak mengekalkan tradisi budaya Cina dalam golongan muda.

“Saya juga akan menjemput kawan saya datang ke rumah saya semasa Tahun Baru Cina”, katanya.

Kalendar Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.