Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Makan puding buih: Mangsa keracunan meningkat kepada 74 orang

Makan puding buih: Mangsa keracunan meningkat kepada 74 orang
Seorang pesakit menunjukkan makanan yang dimakan sewaktu berbuka puasa sebelum mengalami keracunan makanan Jumaat lalu. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Mangsa kes keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih terus meningkat kepada 74 orang pada Selasa.

Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, yang terdiri daripada 16 keluarga, seramai 62 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 12 lagi dari daerah Marang.
Katanya, seramai 33 pesakit telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), lapan dirawat di hospital swasta dan bakinya 22 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Daripada siasatan dilakukan Jabatan Kesihatan Daerah, kita dapati, kemungkinan besar, ataupun punca yang kita syaki, adalah daripada telur yang digunakan dalam puding buih tersebut.
"Bagaimanapun, pengesahan masih belum kita perolehi daripada makmal yang menjalankan ujian terhadap sampel yang kita ambil, sama ada daripada persekitaran tempat premis memasak puding tersebut, mahupun sampel yang kita ambil daripada pesakit yang dirawat," katanya.

Sementara itu, beberapa mangsa yang ditemui tidak menyangka akan terpaksa berhari raya di wad pada Aidilfitri kali ini akibat mengalami cirit-birit, muntah dan demam selepas menikmati puding buih tersebut.

"Saya makan puding buih ini ketika berbuka puasa di rumah emak di Kampung Beladau Kepong. Puding buih ini adik saya yang beli. Selepas makan puding buih, kami sekeluarga mengalami cirit-birit dan muntah-muntah," kata Siti Hasnah Mustafa, 37 tahun, seorang guru.

"Malam itu, hari Jumaat lepas, saya makan puding itu waktu berbuka puasa. Sedap rasanya. Tetapi kemudian, sakit perut yang amat sangat. Perut memulas, tiga atau empat kali buang air.

"Kemudian, isteri saya ajak ke klinik. Kliik tak terima sebab saya demam, kami ke hospital. Alhamdulillah sekarang ada tenaga sikit, makan pun berselera," kata pesara, Abdull Aziz Idris, 63 tahun.

Terdahulu, seramai 48 individu dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada Jumaat lepas.

Sementara itu, Nor Azimi berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di premis peniaga tersebut dan pengambilan sampel oleh Unit Keselamatan Dan Kualiti Makanan (UKKM) Pejabat Kesihatan daerah Kuala Terengganu pada Isnin.

Katanya, pihaknya juga telah menutup dapur premis untuk jualan peniaga puding buih tersebut di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula Isnin hingga 7 Jun depan, iaitu selama 14 hari.