Polis telah menghentikan siasatan berkaitan kes ‘makcik degil gelang pink’ yang tular kerana makan di sebuah kafe di sini ketika menjalani kuarantin baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain bagaimanapun berkata, buat masa ini siasatan tersebut akan diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

BACA: Wanita pakai 'wristband' COVID-19 makan di kafe, cetus kebimbangan netizen

Jelasnya, wanita tersebut kini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Pihak kita telah menjalankan siasatan bersama dengan pihak JKN Perak dan kertas siasatan kedua-dua jabatan ini telah dibawa ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri semalam.

“Pihak Pengarah Pendakwaan Negeri mengarahkan agar JKN Perak meneruskan siasatan.

“Jadi bagi pihak PDRM, tiada tindakan lanjut (NFA) bagi siasatan yang kita lakukan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis kontinjen perak di ipoh pada rabu.

BACA: COVID-19: Gara-gara 'makcik degil gelang pink', restoran ini pula jadi mangsa

Pada 21 Julai lalu, foto seorang wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Foto wanita tersebut yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya di sini jelas menunjukkan gelang tangan (wristband) berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan beliau di bawah perintah kuarantin COVID-19.