Tutup

Malam Islam Bersatu program ibadah yang tidak sepatutnya dipolitikkan

Malam Islam Bersatu program ibadah yang tidak sepatutnya dipolitikkan
Polis tiada halangan terhadap penganjuran program tersebut ini kerana ia hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh Zakir Naik. - Gambar fail
MELAKA: Penganjuran program Malam Islam Bersatu Bersama Dr Zakir Naik dijadual Sabtu ini, tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah program ibadah keagamaan.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata program itu juga bukan sebuah program dianjurkan kerajaan atau parti politik, sebaliknya dianjurkan Masjid Cina Melaka yang dipengerusikannya.
"Polis dan Kerajaan Melaka hanya melarang Dr Zakir Naik berceramah dan bukannya melarang beliau hadir program ibadah seperti solat fardhu berjemaah dan ibadah sunat yang lain," katanya menerusi kenyataan di sini Isnin malam.

Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah pada Isnin dilaporkan sebuah portal sebagai berkata polis tiada halangan terhadap penganjuran program tersebut ini kerana ia hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.
Mohd Rafiq berkata beliau telah memaklumkan mengenai hasrat menjemput Zakir ke Melaka kepada Ketua Menteri Adly Zahari yang memaklumkan tiada halangan terhadap kedatangan penceramah itu ke Melaka asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak polis.

"Saya menyeru Umat Islam seluruh negara dan Melaka untuk hadir beramai-ramai ke program ini demi merealisasikan Umat Islam yang lebih bersatu," katanya.

-- BERNAMA


Tag: zakir naik, melaka, pendakwah, politik, malam islam bersatu, program ibadah, keagamaan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.