Tutup

Malaysia akan ambil langkah untuk betulkan pihak berkuasa penerbangan - PM

Malaysia akan ambil langkah untuk betulkan pihak berkuasa penerbangan - PM
MAHATHIR: Kami akan betulkan keadaan, supaya seluruh dunia akan menghormati pihak berkuasa penerbangan Malaysia.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil langkah perlu jika terdapat apa-apa yang salah dengan pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya mengenai laporan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai butirannya dan akan menelitinya dan "mahu tahu kenapa".
"Kami akan betulkan keadaan, supaya seluruh dunia akan menghormati pihak berkuasa penerbangan Malaysia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini pada Isnin.

BACA: Taraf keselamatan penerbangan: Amerika 'tendang' Malaysia satu tangga
Menurut laporan Reuters, FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, melarang syarikat penerbangan negara itu daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat.

Menurut laporan itu, penarafan Malaysia telah diturunkan ke Kategori 2.

Ditanya sama ada beliau dimaklumkan berhubung penurunan penarafan itu, Dr Mahathir berkata: "Tidak, saya tidak dimaklumkan."

-- BERNAMA