Malaysia akan mencari negara lain untuk menerima pemimpin pembangkang Kemboja dari Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, bukan pendirian Malaysia untuk campur tangan urusan dalaman negara lain.

“Kami tidak mahu mereka menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk masalah mereka di negara lain.

“Kami ingin hantar mereka balik tetapi sekarang ada yang mahu mereka datang ke sini. Dan sekarang kami cuba cari negara yang boleh terima mereka.

“Kami tidak mahu ada sebarang konflik dengan kerajaan (negara) lain kerana ia bukan urusan negara kita, ia hal negara mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Perdana Putra pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan penahanan Naib Presiden CNRP, Mu Sochua.

Saifuddin mengakui menerima permintaan daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar Sochua pulang ke negara itu.

Untuk rekod, Sochua merupakan pemimpin parti pembangkang yang diharamkan di negara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan Malaysia terhadap Sochua, akan dibuat tanpa terikat dengan desakan mana-mana pihak.